Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Skuad wushu negara mengharapkan 18 atlet mereka mampu melakar kejutan dan mempertahankan pingat diperoleh dua tahun lalu pada temasya Sukan SEA Singapura bulan depan.

Dua tahun lalu skuad negara menghadiahkan dua emas dan kali ini dengan jumlah penyertaan teramai jurulatih acara taolu, Lim Yew Fai berharap semua atlet mampu memberi persembahan terbaik sekali gus menghadiahkan lebih banyak emas.

Katanya, semua atlet mempunyai peluang dan mereka akan bertanding dalam dua acara. Seramai 16 atlet beraksi dalam acara taolu selain dua sanda.

“Penyertaan skuad negara yang teramai dalam sejarah penyertaan Sukan SEA. Kali ini kami menghantar gabungan atlet lama dan baru dan ia adil bagi semua kerana mereka sudah menunjukkan prestasi terbaik.

“Semua atlet berpeluang menang emas. Bagi saya dalam sukan wushu kemampuan setiap atlet sama rata dan apabila ditanya siapa atlet pilihan boleh menghadiahkan emas, saya katakan semua mempunyai peluang sama rata,” katanya.

Katanya, skuad negara kali ini turut disertai Tai Cheau Xuen yang kembali dalam skuad negara selepas tamat penggantungan berikutan isu doping di Sukan Asia lalu.

Ditanya negara yang mampu menggugat atlet negara, Yew Fai berkata, sudah pastinya ia datang daripada negara tuan rumah selepas mereka beraksi di Sukan Asia dan ada atlet mereka turut berjaya bergelar juara dunia.

Selain Singapura, Yew Fai mengingatkan agar berhati-hati dengan peserta dari Indonesia dan Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2015 @ 4:56 AM