Wushu akan berusaha mendapatkan emas di Filipina. FOTO NSTP
Wushu akan berusaha mendapatkan emas di Filipina. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


TIADA sasaran diletakkan buat skuad wushu negara di Sukan SEA Filipina tahun ini biarpun dua tahun lalu barisan atlet negara cemerlang merangkul enam emas di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).

Ia berikutan pengurangan acara oleh tuan rumah yang menyaksikan empat juara dunia negara tidak akan dapat beraksi kerana acara masing-masing tidak dipertandingkan.

Justeru Presiden Persekutuan Wushu Malaysia, Datuk Chong Kim Fatt, hanya menyenaraikan empat atlet lelaki dan seorang wanita dalam disiplin taolu dan empat atlet dalam disiplin sanda.

"Ia perkara yang sama berlaku pada 2005 ketika itu saya menjadi pengurus pasukan. Rintangan itu akan menjadikan kami lagi kuat daripada mereka.

"Juara dunia kami terpaksa disimpan kali ini manakala Filipina pula menurunkan semua juara dunia mereka.

"Tapi tak mengapa, kami akan berusaha untuk mendapatkan emas dan terima kasih juga kepada jawatankuasa pemilihan kerana tidak meletakkan sasaran," katanya.

Atlet yang akan mengibarkan cabaran negara kali ini adalah Teh Chee Chong, Lee Wei Loong, Kelvin Teng Kai Wen dan Chong Jian Hwa dalam disiplin sanda sementara juara dunia 2016, Wong Weng Son, Yeap Wai Kin, Loh Choon How, Calvin Lee Wai Leong dan Sydney Chin Sy Xuan (wanita) dalam disiplin taolu.

Menurut Chong, skuad negara ketika ini mendapat sentuhan bekas juara dunia, Mao Ya Qi, bagi memantapkan persiapan daripada segi teknikal sebelum menyertai Kejohanan Dunia 2019 di Shanghai, China, dari 20 hingga 23 Oktober depan sebelum ke Sukan SEA.

Untuk rekod, dalam edisi 2017 di Kuala Lumpur, Malaysia meraih enam daripada 17 pingat emas yang ditawarkan dalam acara wushu.Sukan SEA 2019 Filipina akan berlangsung dari 30 November hingga 11 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 5:52 PM