Teck Siang raih emas untuk Terengganu. FOTO HM Digital/L MANIMARAN
Teck Siang raih emas untuk Terengganu. FOTO HM Digital/L MANIMARAN
Jumiati Rosly dan Aida Adilah Mat


IPOH: Dalam tempoh enam bulan sahaja selepas mengambil keputusan bertukar daripada sukan taekwondo ke wushu, Wee Teck Siang berjaya menghadiahkan pingat emas pertama Terengganu pada Sukan Malaysia (SUKMA) hari ini.

Mempunyai darah campuran Siam, Teck Siang yang mempunyai ketinggian kira-kira 1.74 meter menang mudah ke atas lawan dari Selangor, Tan Xian Jun dalam acara sanda bawah 60 kilogram di SBP Integrasi Gopeng.

"Pada asalnya, jurulatih Persatuan Wushu Terengganu, Toh Poh Leng yang nampak bakat saya dan meminta saya bertukar daripada taekwondo ke wushu pada Mac lalu. 

"Beliau berkata saya mempunyai sedikit kelebihan memandangkan ketinggian saya boleh digunakan untuk menundukkan lawan," katanya kepada NSTP di sini hari ini.

Teck Siang, 18, berkata pada asalnya beliau memikirkan untuk menyertai acara taolu (seni pertunjukan) tetapi akhirnya memilih untuk turut serta dalam acara sanda (pertarungan) kerana minat yang lebih tinggi kepada pertarungan serta pengalamannya sebagai atlet taekwondo.

Ketika aktif dalam sukan taekwondo selama tiga tahun sebelum ini, Teck Siang berkata dia tidak pernah mewakili negeri dan keputusan terbaiknya adalah memperoleh pingat perak ketika mewakili kelab taekwondo dalam Kejohanan Taekwondo Antarabangsa Speed Power ke-2 di Cheras, tahun lalu.

"Selepas melihat rezeki saya dalam sukan ini, saya rasa saya akan kekal dalam wushu. Lagipun saya bertemu ramai kawan dan pengalaman baharu," katanya.

Teck Siang berkata, dia juga menolak tawaran mengikuti Diploma Rekabentuk Grafik di Politeknik Muadzam Shah kerana mahu memberi tumpuan kepada persiapan dalam penampilan pertamanya pada SUKMA.

INFO

Nama: Wee Teck Siang

Umur: 18 tahun

Tarikh lahir: 23 April 2000

Asal: Jerteh, Terengganu

Kontinjen: Terengganu

Sukan: Wushu (sanda bawah 60kg)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 6:09 PM