Kuala Lumpur: Pemain golf remaja kebangsaan, Daeng Abdul Rahman Abdul Aziz dan Siti Zulaikhaa Shaari akan menyertai Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa AmBank SportExcel 2014 di Kota Permai Golf and Country Club, Shah Alam, Selangor, pada 16-18 Disember ini.

Kejohanan ini menampilkan 120 pemain golf remaja terbaik dalam dan luar negara termasuk 63 pemain golf tempatan selain Thailand (27), India (9), Singapura (7), Hong Kong (5), Jepun (3), Korea Selatan (3) dan Brunei (1).

Daeng akan bermain dalam kategori Lelaki 13-14 tahun manakala Siti Zulaikhaa, Perempuan 15-18 tahun.

Kejohanan ini juga akan menyaksikan Pusingan Akhir Sirkit Golf Remaja Kebangsaan SportExcel. Mereka akan bersaing untuk trofi Tan Sri Azman Hashim yang dinamakan sempena nama Pengerusi Kumpulan AmBank.

“Kami sekali lagi bangga menjadi penaja utama dan sejumlah 120 pemain golf remaja akan mengambil bahagian dalam kejohanan ini. Kita akan melihat saingan hebat untuk menjadi nombor satu di antara pemain tempatan dan antarabangsa,” kata Naib Presiden Kanan/Ketua, Komunikasi Korporat dan Pemasaran Kumpulan AmBank Syed Anuar Syed Ali (gambar) selepas menyampaikan cek tajaan kepada Pengarah Eksekutif, Sport Excel C Sivanandan. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 6:14 AM