TPC Kuala Lumpur sedia menjadi hos kejohanan Cabaran Golf Tan Sri Muhyiddin hujung bulan ini. — FOTO Nik Hariff Hassan
TPC Kuala Lumpur sedia menjadi hos kejohanan Cabaran Golf Tan Sri Muhyiddin hujung bulan ini. — FOTO Nik Hariff Hassan
Nor Hairulnizam Wahid


KEJOHANAN Cabaran Golf TSM yang memasuki edisi ke-11 di TPC Kuala Lumpur dari 25 hingga 28 Mac ini terus komited dalam melahirkan lebih ramai pemain golf amatur dan profesional yang disegani.

Antara nama besar yang pernah dilahirkan menerusi kejohanan itu termasuk Gavin Green yang pernah menjuarainya pada 2009 dan 2010, Kelly Tan (2010, 2011 dan 2012) dan Ainil Johani Abu Bakar yang menjuarainya sebanyak empat kali (2006, 2007, 2008 dan 2009).

Selepas kali terakhir diadakan pada 2015, Cabaran Golf TSM yang turut mendapat sokongan Persatuan Golf Malaysia (MGA) kembali dengan 80 pemain amatur seluruh negara bersaing merebut hadiah biasiswa berjumlah RM100,000.

Pengerusi jawatankuasa kejohanan, Datuk Wan Shalihudin Wan Ibrahim berkata, pemain dipilih dalam kelompok usia 21 tahun ke bawah berdasarkan kedudukan mereka dalam ranking amatur dunia seperti yang dikemukakan MGA.

WAN Shalihudin (kiri) ketika sidang media kejohanan di TPC Kuala Lumpur, hari ini. — FOTO Nik Hariff Hassan
WAN Shalihudin (kiri) ketika sidang media kejohanan di TPC Kuala Lumpur, hari ini. — FOTO Nik Hariff Hassan

“Boleh dikatakan pemain yang menyertai kejohanan ini adalah yang terbaik antara yang terbaik dalam kalangan pemain amatur,” kata Wan Shalihudin yang turut mengumumkan penyertaan 12 pemain remaja lelaki negara dan enam wanita pada kejohanan itu.

Antara ‘bintang’ yang mengesahkan penyertaan adalah Zubair Mohd Firdaus, Matthew Peregriine Ong Zhen bagi kategori lelaki serta G Vinisha dan Zulaikah Nurziana Nasser bagi kategori wanita.

Kejohanan selama tiga hari itu membabitkan tiga pusingan dengan keseluruhan 54 lubang.

“Hadiah biasiswa diberikan kepada pemenang bagi membolehkan mereka menyertai akademi golf dalam atau luar negara bagi meningkatkan kemahiran mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 6:47 PM