SHAHIDAN Kassim berjaya mengekalkan jawatan Presiden ASUM. FOTO Mahzir Mat Isa
SHAHIDAN Kassim berjaya mengekalkan jawatan Presiden ASUM. FOTO Mahzir Mat Isa
Ferzalfie Fauzi


DATUK Seri Shahidan Kassim mempertahankan jawatan Presiden Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dalam Mesyuarat Agung Tahunan badan induk berkenaan hari ini.

Shahidan mengekalkan jawatan presiden selepas tidak dicabar mana-mana calon, manakala jawatan lain wujud pertandingan termasuk dua posisi naib presiden.

Bagaimanapun, Datuk Nawawi Reduan (Melaka) dan Oon Kee Seng (Perak) berjaya mengekalkan jawatan naib presiden walaupun cuba dicabar Datuk Wee Hong Seng (Sarawak).

Turut mengekalkan jawatan ialah Mae Chen dan May Tan bagi jawatan Setiausaha Kehormat dan Penolong Setiausaha Kehormat.

Muka baru dalam jawatankuasa ASUM ialah Goh Keng Chye (Melaka) selepas mengetepikan penyandang Bendahari, Andy Low (Negeri Sembilan) dan Haris Lua Abdullah (Johor).

Tiga ahli bebas pula terdiri dari Sung Koh Kiong (Melaka), Andy (Negeri Sembilan) dan Cynthia Chin (Sabah).

“Hari ini kita membuat pemilihan ASUM dan sebahagian besar adalah jawatankuasa lama. Walaupun undian begitu rapat tetapi ianya berakhir dengan kegembiraan.

“Kita sentiasa pandang ke depan untuk memastikan ASUM berjaya, dalam masa sama atlet kita mencapai pingat yang lebih berharga di Sukan Olimpik nanti,” kata Shahidan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 9:20 PM