WEI Ying ceria menerima RM60,000 atas pencapaiannya di Deaflympics 2022. FOTO NAZRI ABU BAKAR
WEI Ying ceria menerima RM60,000 atas pencapaiannya di Deaflympics 2022. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Kejayaan meraih tiga pingat pada Deaflympics 2022, Brazil, tahun lalu, membawa durian runtuh buat pemain badminton Orang Kurang Upaya (OKU) negara, Boon Wei Ying, 28.

Weng Ying yang pekak merangkul satu pingat emas (beregu wanita), satu pingat perak (beregu campuran) dan satu pingat gangsa (perseorangan wanita) menerima RM60,000 daripada kerajaan negeri Melaka.

Katanya, dia berazam mengulangi pencapaian sama di Kejohanan Dunia di Brazil, Julai depan.

"Kejohanan di Brazil kali ini tetap dianggap mencabar dan sengit, namun saya berazam meraih lebih banyak kejayaan demi negara dan negeri Melaka.

"Saya berharap lebih banyak pihak tampil menaja atlet dari Persatuan Sukan Pekak Malaysia bagi membantu pembangunan dan pencapaian cemerlang atlet pekak pada masa akan datang.

"Saya amat gembira menerima insentif penghargaan daripada kerajaan negeri berjumlah RM60,000 atas kejayaan pada saingan di Brazil, Mei tahun lalu.

"Terima kasih dengan insentif ini yang membuktikan Majlis Sukan Negara (MSN) dan kerajaan negeri menghargai usaha atlet untuk berjaya dalam lebih banyak kejohanan pada masa akan datang," katanya.

Menurutnya, dia mula bermain badminton sejak berusia sembilan tahun dan mewakili Melaka, dua tahun kemudian.

Katanya, dia pernah beraksi di Sukan Malaysia (Sukma) bersama pemain normal, namun gagal memenangi pingat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 7:06 PM