Aizat Sharif


Kangar: Perlis mensasarkan 12 emas, lima perak dan 15 gangsa sebagai sasaran yang harus dicapai kepada atlet negeri itu dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 16 September hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana Awam, Pengangkutan, Belia dan Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Perlis, Hamizan Hassan berkata, sasaran berkenaan adalah realistik berdasarkan jumlah pingat emas yang dicapai oleh kontinjen negeri itu pada Sukma ke-19 di Perak pada 2018 lalu.

"Kita melihat sukan seperti tenis, pelayaran, angkat berat, tinju, olahraga dan memanah sebagai prospek bagi kontinjen kita untuk meraih emas di mana penyertaan atlet kali ini agak seimbang dibarisi dengan muka baru serta atlet berpengalaman yang sudah bertanding pada temasya yang lalu.

"Selain itu juga, bagi menghargai kejayaan atlet ini juga, kita turut akan menganugerahkan insentif segera berupa wang tunai kepada atlet kita sebaik sahaja mereka memenangi pingat di mana insentif ini akan diberikan dengan segera atau on the spot.

"Ini bermakna selesai sahaja atlet kita menerima pingat yang dijuarai atas podium itu, kita akan terus memberikan insentif berkenaan di mana RM1000 untuk emas, RM750 untuk perak manakala RM500 untuk gangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen dan Pemberian Bantuan Pengurusan Pasukan Sempena Sukma ke-20 Majlis Sukan Negara (MSN) 2022 serta Penyerahan Insentif Kemenangan Kepada Atlet Negeri Perlis Sempena Sukan Sea Hanoi 2021 di Dewan Warisan, di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Beliau yang juga Chef-de-Mission (CDM) bagi Kontinjen Perlis dalam temasya berkenaan berkata, itu hanyalah insentif segera kerana atlet yang berjaya ini kemudian akan diraikan dan diberikan insentif kemenangan yang lain pada Majlis Anugerah Majlis Sukan Negeri Perlis yang dijangka berlangsung pada Disember nanti.

"Dalam majlis itu juga, buat julung kalinya kita akan menobatkan Olahragawan dan Olahragawati Sukan Terbaik Negeri Perlis dan atlet yang memenangi pingat dalam Sukma ini nanti juga akan diraikan dan diberi ganjaran kemenangan.

"Kita berharap atlet yang terpilih mewakili Perlis ini akan dapat melakukan yang terbaik dan jika boleh diharapkan mereka dapat menggondol lebih banyak pingat emas melebihi apa yang disasarkan oleh kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 4:08 PM