MOHAMAD Taufek (tiga dari kanan) ketika menyaksikan pertandingan catur OKU di Seremban, hari ini. FOTO AZRUL EDHAM
MOHAMAD Taufek (tiga dari kanan) ketika menyaksikan pertandingan catur OKU di Seremban, hari ini. FOTO AZRUL EDHAM
Ahmad Hasbi


Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan akan memberi insentif kepada atlet para negeri itu yang memungut pingat pada temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022, dalam masa terdekat.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohamad Taufek Abdul Ghani berkata, insentif itu membolehkan atlet membuat persiapan sambutan Aidilfitri dengan lebih meriah.

"Kerajaan negeri memperuntukkan dana RM500,000 pada tahun ini bagi tujuan pembangunan sukan atlet para termasuk insentif kepada atlet dan pegawai yang berjaya mendapat pingat pada Para Sukma 2022.

"Kami memutuskan pemberian RM3,000 kepada pemenang pingat emas, RM2,000 untuk perak dan RM1,000 untuk pemenang pingat gangsa," katanya.

Mohamad Taufek berkata, insentif itu akan diberikan dalam satu majlis yang dijangka pada Ramadan nanti.

Beliau berkata, pemberian insentif itu sekurang-kurangnya mampu meringankan beban atlet para menghadapi Ramadan dan persiapan untuk sambutan Aidilfitri yang lebih meriah.

Sukma edisi ke-20 menyaksikan Johor menjadi juara keseluruhan dengan 172 pingat keseluruhannya iaitu 77 pingat emas, 52 perak dan 43 gangsa.

Negeri Sembilan berada di tangga ke-10 dengan jumlah keseluruhan 53 pingat membabitkan 19 emas, enam perak dan 28 gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 12:26 PM