SHEREEN (kiri) ketika beraksi di Sukan Sea Kemboja. FOTO FATHIL ASRI
SHEREEN (kiri) ketika beraksi di Sukan Sea Kemboja. FOTO FATHIL ASRI
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Atlet olahraga wanita negara, Shereen Samson Vallabouy tidak perlu lagi 'pening kepala' memikirkan soal kewangan selepas ini apabila dia bakal menerima bantuan berjumlah hampir setengah juta daripada Kementerian Belia dan Sukan.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, pihaknya akan memberikan bantuan menyeluruh kepada Shereen meneruskan latihan di Amerika Syarikat merangkumi kos penginapan dan bayaran jurulatih, elaun makanan serta penyertaannya di kejohanan luar negara.

Katanya, pakej bantuan terbabit akan diberikan bermula bulan depan sehingga Julai 2024 sekali gus memboleh pelari berusia 25 tahun itu menjalani latihan di Lifespeed Athletics Florida di bawah kendalian jurulatih Derrick White.

"Jumlah keseluruhan yang akan diterima Shereen adalah lebih kurang RM400,000. Bantuan ini adalah untuk Shereen mendapatkan khidmat jurulatih dan menyertai kejohanan di sana (Amerika Syarikat).

"Ketika ini, berdasarkan kepada ranking semasa, Shereen berada di kedudukan pertama di Asia Tenggara dan Asia manakala di tempat ke-55 di dunia.

"Pada masa sama, kita harapkan dia dapat mantapkan lagi prestasi dan menghadiahkan pingat emas untuk negara di Sukan Asia Hangzhou pada September ini," katanya, dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Sebelum itu, Shereen membuktikan dia 'ratu' bagi acara 400 meter (m) di Asia Tenggara apabila memenangi pingat emas dalam acara berkenaan yang berlangsung di temasya Sukan Sea Kemboja, baru-baru ini.

Mengikut rekod, dia juga berjaya meleburkan rekod kebangsaan dalam acara 400m yang berusia 30 tahun milik Allahyarham Rabia Abdul Salam yang mencatat 52.56s ketika melakukannya pada tahun 1993 di Filipina.

Pelari itu memadam rekod berkenaan menerusi catatan 51.80s di Kejohanan Olahraga Tahunan Mt SAC Relays ke-63, California, Amerika Syarikat, bulan lalu.

Malah, dia juga pernah empat kali meleburkan rekod kebangsaan acara 400m dalam dewan dengan yang terbaru ketika memenangi emas di Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan Divisyen II Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Virginia Beach, Virginia, bulan lalu.

Sementara itu, Hannah turut mengesahkan Majlis Sukan Negara (MSN) kini dalam proses perbincangan bersama atlet olahraga lelaki negara Umar Osman untuk mengenal pasti bentuk sokongan demi membantu dalam persiapannya bertanding di Sukan Asia Hangzhou dan kejohanan akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 12:23 PM