Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melihat peserta beraksi dalam pertandingan Wushu ketika majlis perasmian Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Peringkat Kebangsaan 2023 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melihat peserta beraksi dalam pertandingan Wushu ketika majlis perasmian Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Peringkat Kebangsaan 2023 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) sedang mencongak mendapatkan khidmat jurulatih dari China, Zhong Yongshen bagi menguatkan skuad wushu negara sebagai persiapan mengharungi Sukan Asia 2023 Hangzhou pada September ini.

Bagaimanapun, Presidennya, Datuk Chong Kim Fatt berkata, hasrat mendapatkan khidmat jurulatih dari Tianjin itu tergantung dan masih menunggu surat tawaran lantikan dikeluarkan pihak Majlis Sukan Negara (MSN).

Menurutnya, kredibiliti Yongshen sudah terbukti apabila membantu Indonesia meraih 12 pingat emas pada Kejohanan Wushu Remaja Dunia 2022, justeru bimbang sekiranya dia 'disambar' negara lain yang turut berminat mendapatkan khidmatnya.

"Jadi, kita sudah cari individu yang sesuai untuk melatih pasukan wushu negara dan permohonan yang kami buat pada November lepas itu sudah diluluskan oleh MSN. Cuma, ketika ini kami masih menunggu surat tawaran dikeluarkan.

"WFM harap surat tawaran itu dapat dikeluarkan dengan segera supaya jurulatih ini dapat melatih atlet wushu seperti Tan Cheong Min untuk persiapan menjelang Sukan Asia nanti," katanya kepada pemberita pada perasmian Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Kebangsaan 2023 di Stadium Titiwangsa, di sini hari ini.

Kim Fatt berkata kehadiran jurulatih itu ke dalam kem wushu negara memang diharapkan sebagai langkah WFM untuk terus mempamerkan prestasi cemerlang di pelbagai kejohanan pada masa akan datang.

Mengulas mengenai sasaran skuad wushu negara, beliau yang juga Ketua Kontinjen Negara (CDM) ke Sukan Asia 2023 Hangzhou, berkata belum ada sasaran rasmi namun optimis untuk membawa pulang sebanyak mungkin pingat tanpa mengira warna di temasya itu.

Pada edisi Jakarta-Palembang 2018, skuad wushu negara mempamerkan prestasi hambar selepas menamatkan saingan tanpa sebarang pingat.

Pencapaian terbaik Malaysia ialah pada edisi 2006 di Doha, Qatar iaitu satu emas menerusi Chai Fong Ying dan dua gangsa yang disumbangkan oleh Diana Bong dan Ng Shin Yii.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 5:31 PM