SKUAD wushu negara akan mendapat khidmat Zhong Yongshen. -FOTO NSTP
SKUAD wushu negara akan mendapat khidmat Zhong Yongshen. -FOTO NSTP
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Hasrat Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) untuk mendapatkan khidmat jurulatih dari China, Zhong Yongshen akhirnya menjadi kenyataan selepas beliau disahkan akan membimbing skuad negara.

Ia pastinya memberi suntikan semangat kepada barisan atlet yang sedang melakukan persiapan rapi untuk beraksi di Sukan Asia Hangzhou, September depan dalam usaha memburu pingat.

Setiausaha Agung WFM, Yong Kheng Chien berkata, kehadiran jurulatih berkenaan sememangnya dinantikan dan beliau akan memulakan tugasnya dalam tempoh terdekat.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada MSN (Majlis Sukan Negara) yang membantu mendapatkan khidmat jurulatih dari China ini. Dia akan memulakan tugasnya dalam masa terdekat sebaik permit kerjayanya diluluskan.

"Kami percaya kehadirannya mampu membantu atlet negara mencapai keputusan positif di Sukan Asia nanti," katanya.

Yongshen sebelum ini dilaporkan menjadi rebutan dengan beberapa negara di rantau ini sedang mengintai untuk mendapatkan khidmatnya.

Beliau memiliki reputasi gah selaku jurulatih apabila berjaya membantu Indonesia memenangi 11 pingat emas di Kejohanan Wushu Remaja Dunia, tahun lalu.

Pada Sukan Asia Hangzhou, skuad negara akan dibarisi dua bekas juara dunia iaitu Wong Weng Son yang akan beraksi dalam acara changquan lelaki dan Tan Cheong Min (nanquan-nangun wanita) selain Clement Ting (daoshu-gunshu lelaki).

Malaysia turut menyenaraikan empat atlet muda iaitu Tan Zhi Yan (taijiquan-taijijian lelaki), Calvin Lee (nanquan-nangun lelaki), Sydney Chin (taijiquan-taijijian) dan Pang Pui Yee (jiangshu-qiangshu wanita).

WFM menetapkan sasaran untuk meraih sekurang-kurangnya satu pingat sekali gus memperbaiki pencapaian edisi 2018 di Indonesia yang menyaksikan skuad wushu negara pulang dengan tangan kosong.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 2:28 PM