PRESIDEN Persekutuan Wushu Malaysia, Datuk Chong Kim Fatt. -FOTO Bernama
PRESIDEN Persekutuan Wushu Malaysia, Datuk Chong Kim Fatt. -FOTO Bernama
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: "Jangan sampai jurulatih ini terlepas di tangan negara lain"

Itu reaksi Presiden Persekutuan Wushu Malaysia, Datuk Chong Kim Fatt yang mengharapkan Majlis Sukan Negara (MSN) agar segera mengeluarkan surat tawaran buat jurulatih China, Zhang Yongsheng untuk melatih atlet negara sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia Hangzhou September ini.

Menurutnya, difahamkan jurulatih yang pernah membantu pasukan Indonesia meraih 11 emas di kejohanan wushu remaja dunia kini ibarat pisang goreng panas dengan beberapa negara di rantau ini sedang mengintai untuk mendapatkan khidmatnya.

"Kita sudah lama tidak ada jurulatih China yang mana yang ada ketika ini semua tempatan. Saya tak cakap ia salah tapi kita kena cari individu yang benar-benar sesuai.

"Jadi kita sudah cari individu yang sesuai untuk melatih pasukan wushu negara dan permohonan yang kami buat pada November lalu itu sudah diluluskan oleh MSN. Cuma ketika ini kami masih menunggu surat tawaran dikeluarkan.

"Kami harap surat tawaran itu dapat dikeluarkan dengan segera supaya jurulatih ini dapat melatih atlet wushu untuk persiapan menjelang Sukan Asia nanti. Sebab ketika ini kami dengar mungkin ada beberapa negara mahu 'hijack' sebab dia sebelum ini pernah bantu Indonesia meraih 11 emas di kejohanan wushu remaja dunia tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kejohanan Seni Mempertahankan Diri peringkat kebangsaan di Stadium Titiwangsa hari ini.

Dalam pada itu ketika ditanya berkenaan sasaran untuk skuad wushu negara di Sukan Asia, Kim Fatt tekad tidak mahu peristiwa yang berlaku pada edisi lalu berulang kembali ketika turun bertanding di Hangzhou.

Justeru beliau menyasarkan untuk skuad negara

membawa pulang pingat tanpa mengira warna di temasya Sukan Asia kali ini sekali gus memperbaiki pencapaian yang terdahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 12:43 PM