KIM Fatt mengakui WFM juga terpaksa menangguhkan sementara waktu untuk mendapatkan khidmat jurulatih dari China, berikutan sekatan pihak berkuasa kerana Covid-19. FOTO OWEE AH CHUN.
KIM Fatt mengakui WFM juga terpaksa menangguhkan sementara waktu untuk mendapatkan khidmat jurulatih dari China, berikutan sekatan pihak berkuasa kerana Covid-19. FOTO OWEE AH CHUN.
Mohd Amin Jalil


TANPA menyertai sebarang kejohanan tahun ini susulan wabak pandemik Covid-19, Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) akan memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi beberapa kejohanan besar tahun depan.

Presiden WFM, Datuk Chong Kim Fatt berkata, antara kejohanan itu termasuk Sukan SEA 2021 di Vietnam dan Kejohanan Wushu Dunia 2021 di China.

Katanya, selain itu persiapan juga difokuskan kepada Kejohanan Wushu Asia di India 2022."Biarpun tempoh masa itu dilihat masih panjang, tetapi mempersiapkan atlet wushu untuk memastikan mereka mencapai tahap yang terbaik mengambil masa lama dan ia perlu bermula dari sekarang.

"Justeru, tempoh kira-kira lima bulan sehingga akhir tahun ini akan digunakan sepenuhnya oleh WFM untuk mempersiapkan atlet, walaupun program latihan atlet ketika ini dalam keadaan yang terbatas kerana Covid-19," katanya di sini, hari ini.

Kim Fatt yang juga Presiden Wushu, Tarian Singa dan Naga Negeri Sembilan berkata, pihaknya juga terpaksa menangguhkan sementara waktu untuk mendapatkan khidmat jurulatih dari China, berikutan sekatan pihak berkuasa kerana Covid-19.

Menurutnya, pihaknya tidak dapat menjangkakan bila khidmat jurulatih berkenaan dapat direalisasikan.

"Memang kita memerlukan khidmat jurulatih luar yang berwibawa untuk melatih atlet kita dan jurulatih berkenaan sudah kenal pasti, tetapi sejauh mana kita dapat menggunakan kepakaran dia, masih belum dapat ditentukan lagi kerana Covid-19 masih belum reda.

"Kita cuma boleh berharap agar jurulatih itu dapat hadir melatih atlet negara bermula awal tahun depan kerana banyak kejohanan besar bakal berlangsung tahun depan," katanya.

Kim Fatt, bagaimanapun berkata, atlet yang berlatih di bawah bimbingan jurulatih tempatan ketika ini berjalan dengan baik.

"Kami berharap program latihan yang disediakan itu dapat membantu atlet mencapai tahap prestasi terbaik sebelum mereka menghadapi kejohanan antarabangsa tahun depan, apabila keadaan kembali normal, kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 5:05 PM