WENG Son bakal menyertai Piala Dunia Wushu 2024 di Jepun. FOTO FATHIL ASRI
WENG Son bakal menyertai Piala Dunia Wushu 2024 di Jepun. FOTO FATHIL ASRI
BERNAMA

Kuala Lumpur: Juara dunia, Wong Weng Son dan bekas juara dunia, Tan Cheong Min, bakal menjadi taruhan utama negara untuk menggegar Piala Dunia Wushu 2024 dijadual berlangsung di Jepun, November tahun depan.

Weng Son muncul pemenang emas tunggal negara bagi acara changquan lelaki pada Kejohanan Dunia Wushu 2023 di Texas, Amerika Syarikat (AS), bulan lepas manakala Cheong Min pula adalah juara dunia sebanyak dua kali kejohanan itu menerusi acara duilian wanita bersama Phoon Eyin dan Loh Ying Ting (Kazan 2017) serta nandao wanita (Shanghai 2019).

Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM), Datuk Chong Kim Fatt berkata kedua-dua mereka itu diharapkan dapat merealisasikan sasaran awal satu emas yang diletakkan kepada kem wushu negara daripada kejohanan berkenaan.

"Selain Weng Son dan Cheong Min, atlet lain yang bakal menyertai Piala Dunia Wushu 2024 di Jepun nanti adalah Sydney Chin, Clement Ting dan Calvin Lee," katanya kepada Bernama.

Katanya, kesemua mereka antara lapan atlet negara yang layak beraksi di Piala Dunia Wushu 2024 selepas memperoleh kedudukan lapan terbaik dunia dalam acara masing-masing di Texas, AS sekali gus menepati kriteria pertandingan yang menetapkan atlet perlu menghuni kedudukan 10 terbaik dunia.

Dalam pada itu, Kim Fatt berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Majlis Sukan Negara minggu depan bagi mempertimbangkan hasrat WFM yang mahu menghantar atlet mereka berlatih di China sebanyak dua kali tahun depan.

Katanya, permohonan itu terpaksa dibuat selepas beliau difahamkan MSN hanya meluluskan hanya satu latihan di luar negara untuk atlet WFM pada tahun depan susulan kekangan peruntukan.

"Kami akan berjumpa dengan Ketua Pengarah MSN baharu Abdul Rashid Yaakub untuk berbincang semula rancangan WFM menghantar atlet jalani latihan dua kali di luar negara selepas tahun baharu ini," katanya.

Beliau yang juga ketua kontinjen negara ke Sukan Asia Hangzhou 2022 berkata atlet mereka wajar diberi pendedahan sebanyak dua kali di luar negara tahun depan susulan prestasi memberangsangkan sepanjang 2023 termasuk kejayaan merangkul 11 pingat merangkumi satu emas, enam perak dan empat gangsa pada kejohanan dunia di Texas.

Kim Fatt pada masa sama berharap dapat membawa beberapa atlet pelapis berlatih di luar negara sebagai persediaan awal menyiapkan mereka agar benar-benar bersedia menggalas tugas negara pada Sukan Sea 2025 di Thailand.

Sukan Sea 2025 dijadual berlangsung di tiga bandar utama iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla dari 9 hingga 20 Disember 2025.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2023 @ 10:30 PM