TAN Zhi Yan bakal beraksi dalam acara taijiquan. -Foto Ihsan WFM.
TAN Zhi Yan bakal beraksi dalam acara taijiquan. -Foto Ihsan WFM.
Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) mungkin terpaksa mengejar masa bagi mempersiapkan atlet untuk beraksi di temasya Sukan Asia 2023, susulan hasrat mendapatkan khidmat jurulatih dari China, belum kesampaian.

Temasya Sukan Asia dijadualkan akan berlangsung di China dari 23 September hingga 8 Oktober depan.

Presiden WFM, Datuk Chong Kim Fatt berkata, Majlis Sukan Negara (MSN) sudah memberi kelulusan bagi mendapatkan khidmat Zhong Yongshen, berusia 20an, dalam usaha meningkatkan prestasi atlet menjelang temasya sukan berprestij itu.

"MSN sudah bagi kelulusan bagi kita mendapatkan khidmat Yongshen dari China, namun proses atau urusan bagi membawa jurulatih itu ke negara ini mengambil sedikit masa.

"Dijangkakan dia mungkin boleh sampai ke sini bulan depan iaitu hanya kira-kira dua bulan menjelang cabaran Sukan Asia.

"Jadi, mungkin kita perlu kejar masa dalam membuat persiapan dan memastikan prestasi atlet dalam keadaan yang terbaik untuk menggalas cabaran di temasya itu nanti," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Kim Fatt yang juga Ketua Kontinjen Negara (CDM) ke Sukan Asia, berkata kehadiran jurulatih itu bagi membimbing atlet wushu negara penting dalam usaha membantu mereka mempamerkan prestasi cemerlang di pentas temasya berkenaan.

"Yongshen seorang jurulatih muda yang memiliki kredibiliti apabila dia berjaya membantu atlet Indonesia meraih 12 pingat emas pada Kejohanan Wushu Remaja Dunia 2022 selepas bersama pasukan itu selama setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 1:26 PM