SHAHIDAN (tengah) menyifatkan prestasi atlet pelapis dalam Sukan Sea 2023 sangat memberangsangkan. -FOTO Aizat Sharif
SHAHIDAN (tengah) menyifatkan prestasi atlet pelapis dalam Sukan Sea 2023 sangat memberangsangkan. -FOTO Aizat Sharif
Oleh Aizat Sharif


Kangar: Kilauan 12 gangsa yang diperoleh kontinjen Malaysia bagi olahraga dalam temasya Sukan Sea 2023 di Kemboja dilihat sebagai satu pencapaian memberangsangkan apabila kebanyakannya dihasilkan oleh atlet pelapis atau 'atlet junior'.

Secara keseluruhan, kontinjen Malaysia memperolehi lima emas, tiga perak dan 12 gangsa dalam acara olahraga bagi temasya dwi tahunan yang sedang berlangsung di Phnom Penh itu dan prestasi yang ditonjolkan oleh atlet pelapis yang digilap menerusi Sukan Malaysia (Sukam) dan kejohanan olahraga lain sangat luar biasa.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, biarpun sekadar menggondol gangsa namun prestasi atlet pelapis ini sangat luar biasa kerana ada atlet pelapis ini yang baru pertama kali bertanding dalam Sukan Sea ini serta tidak diletakkan sebagai prospek pingat namun mampu membawa kejayaan yang tidak disangka.

"Sudah tentu saya berpuas hati dan kita akan berusaha dengan lebih gigih, kena ingat ini adalah keupayaan luar biasa kerana kita menang 12 gangsa dan kebanyakan kejayaan gangsa ini juga dihasilkan oleh atlet pelapis atau atlet muda kita.

"Kita melihat terdapat peningkatan dalam prestasi yang dihasilkan oleh atlet pelapis ini atau 'atlet junior' terutama dalam Sukan SEA kali ini dan ini membuktikan bahawa pembangunan atlet olahraga kita berjalan lancar dengan baik terutama menerusi pendedahan sebegini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui di Sambutan Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambun Tulang di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Tambun Tulang di Dataran Titi Chai, Utan Aji, di sini semalam.

Katanya, prestasi atlet pelapis ini harus diberikan perhatian dan perlu diberikan lebih banyak pendedahan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam memastikan mereka dapat menuai lebih banyak kejayaan buat negara dalam sukan olahraga.

Dalam acara olahraga di Sukan Sea 2023 di Phnom Penh, Kemboja, atlet olahraga negara berjaya menyumbangkan lima emas menerusi Umar Osman dalam acara 400 meter lelaki, Andre Anura Anuar dalam acara lompat kijang, Mohd Irfan Shamsuddin menerusi acara lempar cakera, Shereen Samson Vallabouy dalam acara 400 meter wanita dan Grace Wong dalam acara lontar tukul besi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 2:00 PM