SYAZWANI ketika beraksi di Sukan Malaysia Kuala Lumpur. -FOTO NSTP
SYAZWANI ketika beraksi di Sukan Malaysia Kuala Lumpur. -FOTO NSTP
Oleh Syazwan Msar


Phnom Penh: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) sudah mempunyai perancangan terbaik supaya atletnya yang menyerlah di Sukan Sea Kemboja mendapat latihan lebih sistematik seterusnya mampu mencipta kejayaan di kejohanan akan datang.

Presidennya, Datuk Ayub Rahmat berkata, atlet muda negara seperti Nur Syazwani Radzi yang membawa pulang pingat gangsa untuk negara dalam acara 64 kilogram (kg) tidak dibiarkan terkontang-kanting apabila PABM akan menawarkan program latihan lebih sempurna supaya potensinya boleh dikembangkan lagi.

"Kita di peringkat kebangsaan mempunyai program khusus untuk atlet angkat berat. Oleh itu, sebaik tamat saja temasya Sukan Sea Kemboja, kita akan buat tawaran kepada Syazwani untuk mengikuti program lebih sistematik dan rapi.

"Saya lihat itulah yang terbaik untuk atlet terbabit. Pada masa sama, kita juga akan melihat potensi atlet lain di peringkat negeri untuk diketengahkan menerusi kejohanan yang akan diadakan kelak.

"Apa yang boleh saya katakan, kita mempunyai ramai pelapis berkebolehan terutamanya atlet wanita sekali gus mampu membawa emas pada Sukan Sea akan datang," katanya.

Sebelum itu, kem angkat berat negara boleh pulang dengan senyuman apabila atlet mereka berjaya menepati sasaran membawa pulang satu pingat gangsa pada hari terakhir acara terbabit dipertandingkan di temasya Sukan Sea Kemboja semalam.

Pingat gangsa itu hadir pada saat akhir apabila Nur Syazwani dalam acara 64kg sekali gus melegakan kem angkat berat negara.

Syazwani membuat angkatan snatch terbaik sebanyak 80 kilogram (kg) sebelum mencatatkan rekod clean and jerk(104kg) dengan keseluruhan 184kg.

Namun, jumlah angkatan itu tidak mampu mengalahkan wakil dari Indonesia, Tsabitha Alfiah Ramadani yang melakukan jumlah angkatan keseluruhan 204kg untuk memenangi pingat emas manakala wakil dari Vietnam Thi Thu Uyen Dinh membaw pulang perak(194kg).

Secara keseluruhan, penampilan kali pertama atlet muda berusia 20 tahun itu harus diberikan pujian kerana tidak goyah beraksi di temasya dwitahunan bersama atlet berpengalaman lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 2:15 PM