SHAHIDAN akui buat sasaran tanpa berbincang dengan bersama barisan kejurulatihan. -FOTO NSTP
SHAHIDAN akui buat sasaran tanpa berbincang dengan bersama barisan kejurulatihan. -FOTO NSTP
Oleh Syazwan Msar


Phnom Penh: Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Seri Dr Shahidan Kassim 'mengakui' kesilapannya mengumumkan sasaran untuk membawa pulang 10 pingat emas di temasya Sukan Sea Kemboja.

Shahidan berkata, pengumuman terbabit dilakukan selepas memenangi kerusi utama KOM tanpa melakukan perbincangan terlebih dahulu bersama barisan kejurulatihan dan pihak berkepentingan hingga menimbulkan 'kekecohan' sebaik acara olahraga menutup tirai di temasya dwitahunan itu.

"Sasaran 10 itu (emas) daripada saya bukannya daripada ini (KOM)... ia dilakukan selepas kemenangan (jawatan Presiden KOM) saya cakap letak 10.

"Namun selepas proses latihan semua boleh dapat paling hampir dengan 10 pingat saja tak apalah kerana paling penting adalah atlet muda sudah capai sesuatu yang hebat," katanya.

Mengikut rekod, kem olahraga mengakhiri saingan di Sukan Sea Kemboja dengan lima emas, tiga perak manakala 12 gangsa dengan dua rekod kebangsaan berjaya dicipta menerusi acara 400 meter (m) individu lelaki Omar Osman dan kuartet 4x100m wanita.

Pencapaian itu hampir sama di temasya dwitahunan di Hanoi, Vietnam, tahun lalu menyaksikan atlet olahraga negara turut membawa pulang lima emas, tiga perak dan lapan gangsa.

Atlet yang menyumbang emas pada edisi kali ini adalah Umar Osman dalam acara 4x400meter (m), Shereen Samson Vallabouy (400m individu wanita), Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Grace Wong (baling tukul besi) dan Andre Anura Anuar (lompat kijang).

Sementara itu, Shahidan berkata, beliau menerima dengan hati terbuka apabila banyak pihak mengkritik prestasi dan keupayaan atlet olahraga di Sukan Sea kali ini.

"Biarlah mereka nak kata apa kerana paling penting kita lihat program pembangunan yang dirancang menunjukkan perkembangan positif apabila atlet muda menyerlah di Sukan Sea Kemboja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 1:33 PM