HANNAH (tengah) bangga dengan pencapaian Shereen dan Umar kerana ia satu penantian yang begitu lama. FOTO Ihsan Kementerian Belia dan Sukan
HANNAH (tengah) bangga dengan pencapaian Shereen dan Umar kerana ia satu penantian yang begitu lama. FOTO Ihsan Kementerian Belia dan Sukan
Zulkarnain Azman


Putrajaya: Pelari 400 meter (m) negara, Umar Osman dan Shereen Samson Vallabuoy diyakini mampu untuk bersaing bukan sahaja di benua Asia malah dilihat mampu untuk beraksi di pentas Olimpik kelak berdasarkan prestasi yang ditampilkan di Sukan Sea Kemboja.

Demikian pandangan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh susulan kejayaan kem olahraga negara meraih pingat emas 400 meter (m) lelaki dan wanita pada Sukan Sea Kemboja 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh semalam.

"Kita sangat berbangga dengan pencapaian Shereen dan Umar kerana ia satu penantian yang begitu lama untuk mendapat dua emas ini. Barisan atlet muda sudah mula mendapatkan hasil untuk kita.

"Olahraga memang ada potensi yang bagus. Saya percaya dengan sokongan yang betul, mereka (atlet-atlet) boleh majukan sukan ini bukan sahaja di peringkat Sea tetapi Asia dan harap satu hari nanti boleh di Olimpik," katanya.

Hannah yang ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Kementerian Belia dan Sukan hari ini, turut meluahkan keyakinan Malaysia berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran 40 emas di bumi Phnom Penh.

Shereen, 25, mencipta sensasi apabila menjuarai 400m wanita dengan catatan masa 52.53 saat (s) menewaskan dua atlet Vietnam, Nguyen Thi Huyen (53.27s) dan Nguyen Thi Hang (53.84s) yang masing-masing meraih perak serta gangsa.

Selepas itu, giliran Umar, 20, mencipta sejarah baharu apabila memenangi 400m lelaki dengan masa 46.34s sekali gus memadam rekod kebangsaan, 46.41s berusia 22 tahun dilakukan Zaiful Zainal Abidin pada 2001.

Umar menewaskan dua atlet Filipina yang memenangi pingat perak dan gangsa, Umajesty Wesley (46.52s) serta Frederick Cabatu (46.63s).

Dalam pada itu Hannah berkata, beliau mengakui gembira dengan prestasi yang ditampilkan atlet muda di Sukan Sea Kemboja.

Menurut beliau, prestasi yang ditunjukkan oleh atlet muda negara ketika ini di temasya berkenaan boleh dibanggakan berjaya menjadi penyelamat kepada emas yang tercicir dalam beberapa sukan sebelum ini.

Malah katanya, disebabkan prestasi atlet yang berjaya melakar kejutan, beliau melihat kontinjen negara berada di landasan terbaik untuk mencapai sasaran 40 emas yang disasarkan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 8:58 PM