ANDRE Anura (tengah) bersyukur kerana kecederaan yang dialami sebelum ini sudah pulih. FOTO MOHD AMIN JALIL
ANDRE Anura (tengah) bersyukur kerana kecederaan yang dialami sebelum ini sudah pulih. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Nilai: Selepas meraih pingat emas acara lompat kijang pada Sukan Sea ke-32 di Kemboja, Andre Anura Anuar, mensasarkan untuk memecah catatan peribadi terbaik pada tiga kejohanan besar yang bakal dihadapinya tahun ini.

Ia membabitkan Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) di Bangkok, Thailand, pada Julai disusuli Sukan Universiti Dunia dan Sukan Asia yang kedua-duanya dijadual bakal berlangsung di China sekitar Julai dan September depan.

Atlet berusia 22 tahun berasal dari Sabah itu mahu memastikan catatan terbaik peribadinya 16.51 meter (m) yang dicatatkan pada Sukan Sea di Hanoi tahun lalu, mampu diperbaharui pada tiga kejohanan terbabit.

"Selepas Sukan Sea di Kemboja, fokus saya selepas ini adalah untuk membuat persiapan menghadapi tiga temasya sukan terbesar iaitu Kejohanan ATF di Thailand, Sukan Universiti Dunia dan Sukan Asia di China.

"Saya bersyukur kerana kecederaan yang dialami sebelum ini sudah pulih dan berharap prestasi terbaik dapat dicapai dalam tempoh dua bulan ini.

"Harapan memang tinggi iaitu untuk memecahkan rekod peribadi 16.51m tetapi jika dapat kekalkan catatan itu ia sudah memadai kerana bakal berhadapan dengan pencabar lebih hebat di peringkat Asia," katanya.

Dia ditemui pada majlis ramah mesra dan meraikan kejayaan atlet Sukan Sea Kemboja bersama syarikat Ajinomoto (Malaysia) Berhad (AMB) di Pusat Hab Halal Bandar Enstek, di sini, petang ini.

Selain Andre Anura, dua lagi atlet olahraga kebangsaan yang turut dirai ialah Queenie Ting, bagi acara lempar cakera dan atlet lompat galah, Nor Sarah Adi, yang masing-masing meraih pingat perak di temasya berkenaan.

Andre Anura berkata, persiapan latihannya ketika ini berjalan lancar selepas bebas daripada masalah kecederaan.

"Saya berharap dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada latihan dan mampu mencipta kejayaan lebih baik di pentas antarabangsa tahun ini," katanya.

Sementara itu, Queenie menegaskan betapa dia masih memburu catatan 58m selepas rekod yang dicatatkan di Kemboja sekadar 52.36m.

Menurut atlet kelahiran Sarawak itu, dia akan berusaha memastikan sasaran itu dapat dicapai pada suatu tempoh yang terdekat atau tahun ini.

"Saya perlu bekerja lebih keras dalam latihan untuk memastikan suatu catatan melebihi 58m dapat dilakukan menjelang kejohanan akan datang," katanya.

Terdahulu, ketiga-tiga atlet terbabit mengambil bahagian dalam program pemakanan sukan di bawah Projek Kemenangan Asean, yang menjadi sebahagian daripada aktiviti sokongan AMB terhadap atlet negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 7:36 PM