SAIFUL tidak jangka dapat meraih pingat emas. FOTO Ihsan Majlis Olimpik Malaysia
SAIFUL tidak jangka dapat meraih pingat emas. FOTO Ihsan Majlis Olimpik Malaysia
Syazwan Msar


Phnom Penh: Keputusan untuk membuat comeback dalam arena petanque negara ternyata memberikan hasil terbaik buat atlet negara Saiful Bahri Musmin apabila membawa pulang pingat emas buat Malaysia semalam.

Saiful yang sudah menggenggam dua emas dalam temasya Sukan Sea sebelum ini, membuktikan dia masih lagi berbisa apabila mendominasi acara individu lelaki semalam dengan menewaskan wakil Laos Bountamy Southammavong 13-9.

Saiful berkata, walaupun pada peringkat awal tidak diletakkan sasaran untuk meraih emas namun dia mampu melakukan kejutan untuk meraih kemenangan di saingan final.

"Saya tidak jangka dapat meraih pingat emas tetapi daripada pihak PPM (Persekutuan Petanque Malaysia), mereka memang sasarkan emas untuk acara ini. Apa yang boleh saya berikan adalah yang terbaik pada hari pertandingan dan ini adalah hadiah buat mereka.

"Secara jujur, saya agak terkejut kerana sesi latihan yang saya jalani sebelum mengharungi temasya Sukan Sea kali ini agak singkat kerana lepas Hari Raya Aidilfitri baru saya bersama rakan sepasukan," katanya.

Mengikut rekod, Saiful berpengalaman menyertai setiap temasya Sukan Sea bermula 2007 di Thailand hingga di Filipina pada edisi 2019 sebelum mengambil keputusan untuk berehat pada edisi di Vietnam 2021 tahun lalu.

Kata Saiful, dorongan daripada keluarga menjadi salah satu faktor untuk kembali bergiat aktif selain keputusan hambar yang direkodkan oleh skuad petanque kebangsaan pada temasya dwitahunan itu di Hanoi sebelum ini.

"Sebenarnya saya dapat semangat balik sebab keluarga dan rakan kerana mereka percaya saya boleh sumbangkan pingat emas. Malah, di Vietnam juga keputusan yang diraih oleh skuad petanque tidak begitu positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 2:24 PM