Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sindiket 'doktor estetik' warga asing dikesan mengupah rakyat tempatan sebagai pengarah syarikat untuk menjalankan operasi pusat rawatan kecantikan haram mereka.

Difahamkan, sindiket terbabit menawarkan gaji bulanan yang tinggi bagi menarik anak muda menyertai syarikat mereka tanpa mengetahui kesan dan akibat yang bakal ditanggung.

Tindakan 'doktor' dari China yang disyaki tidak mempunyai lesen sah dan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu bukan hanya untuk meyakinkan pelanggan, malah memudahkan mereka melarikan diri sekiranya berlaku perkara tidak diingini, sekali gus meletakkan tanggungjawab terhadap pengarah dilantik.

Salah seorang mangsa mahu dikenali Teow, 24, berkata, dia ditawarkan jawatan pengarah oleh seorang lelaki warga China mendakwa pakar bedah estetik yang dikenalinya kira-kira empat tahun lalu.

"Sebelum ini saya pernah mendapatkan khidmat pembedahan hidung dengan doktor terbabit dan selepas prosedur selesai, saya tidak puas hati kerana hidung senget.

"Dia tidak mahu bertanggungjawab menyebabkan saya terpaksa membuat pembedahan membaiki semula hidung saya di Thailand," katanya dalam sidang media di Wisma MCA di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Bahagian Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong.

Bercerita lanjut, wanita itu berkata, pada 21 Jun lalu dia berhubung semula dengan doktor itu untuk memohon kerja dan ditawarkan pekerjaan sebagai kerani dengan gaji RM5,000.

Teow yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengakui teruja dengan tawaran itu lalu bersetuju untuk bekerja di pusat rawatan kecantikan di Kuala Lumpur selain perlu melakukan tugas di cawangan pusat kecantikan berkenaan di Johor Bahru tiga kali seminggu.

Bagaimanapun katanya, apabila melaporkan diri, dia dipaksa menandatangani beberapa dokumen dan ditawarkan tambahan gaji RM2,000 sebagai pengarah syarikat.

"Saya berasa pelik lalu meminta penjelasan tapi doktor itu memberi pelbagai alasan. Saya bertanya kepada rakan yang bekerja dalam bidang sama dan diberitahu ia berisiko lalu menasihati saya berhenti kerja.

"Saya segera menghantar surat peletakan jawatan sebagai kerani dan pengarah tapi diberitahu saya sudah menandatangani dokumen yang tidak membenarkan saya meletak jawatan sebagai pengarah sehingga mendapat pengarah ganti," katanya.

Berikutan bimbang berlaku perkara tidak diingini, dia tampil membuat laporan polis di Balai Polis Sentul di sini, pada 22 Jun lalu.

Sementara itu, Michael berkata, pihaknya menerima beberapa aduan mengenai modus operandi doktor estetik palsu yang menggunakan rakyat tempatan sebagai pengarah syarikat bagi mengelak masalah dan mengaburi mata pihak berkuasa.

Beliau berkata, pihaknya sudah melaporkan perkara itu dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan KKM untuk tindakan lanjut bagi mengelak sindiket terbabit terus berleluasa dan lebih ramai menjadi mangsa.

MICHAEL Chong bersama Teow pada sidang media mengenai penipuan doktor estetik. FOTO Genes Gulitah
MICHAEL Chong bersama Teow pada sidang media mengenai penipuan doktor estetik. FOTO Genes Gulitah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 3:50 PM