MUHYIDDIN pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini. FOTO ihsan Penerangan Malaysia
MUHYIDDIN pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini. FOTO ihsan Penerangan Malaysia
Fahmy A Rosli


Kuala Lumpur: Bersatu kecewa dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang menyatakan tidak berlaku kekosongan kerusi enam Ahli Parlimen yang dipecat parti itu.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu didakwa jelas bercanggah dengan Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan alasan dikemukakan Johari dangkal dan tafsiran dibuat songsang sekali gus mencemar Perlembagaan Persekutuan.

"Bersatu menerima surat bertarikh 9 Julai 2024 lewat petang semalam daripada Speaker Parlimen yang menyatakan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk keenam-enam kerusi bekas Ahli Bersatu.

"Peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik selepas dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik tersebut.

"Dalam situasi ini, jelas bahawa enam Ahli Dewan Rakyat di sini tidak lagi menjadi ahli Bersatu berikutan peruntukan perlembagaan Bersatu.

"Di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, apa-apa pentafsiran perlembagaan parti politik oleh parti tersebut adalah muktamad dan konklusif," katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Enam Ahli Parlimen yang dimaksudkan ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Zahari Kecik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Mengulas lanjut, Muhyiddin menegaskan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sudah pun memutuskan enam Ahli Parlimen berkenaan terhenti keahliannya.

Beliau berkata, pentafsiran Bersatu terhadap perkara itu adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan.

"Keputusan Speaker adalah bercanggah dengan peruntukkan undang-undang dan bertindak di luar bidang kuasa beliau dalam membuat tafsiran yang songsang. Hanya mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Berkongsi alasan dikemukakan Speaker Dewan Rakyat terhadap Suhaili, Muhyiddin berkata, Johari memberikan alasan remeh dan enggan mengisytiharkan kekosongan kerusi itu selepas Ahli Parlimen Labuan itu memulakan tindakan mahkamah, yang juga menyalahi peruntukan Perlembagaan Bersatu.

Sehubungan itu, beliau berkata, Bersatu memutuskan untuk mengambil langkah susulan dengan melantik beberapa pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan Bersatu.

Beliau turut mengesahkan mungkin akan mengemukakan usul dalam sesi sidang Dewan Rakyat esok, untuk merayu keputusan dibuat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 4:07 PM