Anwar Ibrahim (tengah) bersalaman dengan warga Kementerian Dalam Negeri pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) Negeri Terengganu di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang hari ini. FOTO BERNAMA
Anwar Ibrahim (tengah) bersalaman dengan warga Kementerian Dalam Negeri pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) Negeri Terengganu di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang hari ini. FOTO BERNAMA
Zatul Iffah Zolkiply dan Nazdy Harun

Marang: Peruntukan pembangunan di Terengganu meningkat kepada RM7.23 bilion pada tahun ini berbanding RM5.99 bilion pada 2022.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia membabitkan projek negeri dan Persekutuan sekali gus menunjukkan dakwaan kerajaan Persekutuan menyekat peruntukan untuk Terengganu adalah tidak benar.

Beliau berkata, ia menunjukkan kerajaan Persekutuan tidak pernah meminggirkan kerajaan Terengganu walaupun berbeza fahaman politik.

"Selalu dengar keluhan-keluhan itu daripada Terengganu ini tak beri (dan) dapat perhatian semua tak berapa benar.

"Itu mungkin masa bincang-bincang ceramah politik dalam kerajaan saya bagi jaminan kepada Datuk Seri Menteri Besar (Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) kalau ada saya tidak mahu halang.

"Tahun 2022 sebelum saya ambil alih itu keseluruhan mengurus agensi Persekutuan, pemberian kepada negeri, pembangunan negeri keseluruhannya adalah RM5.99 bilion.

"Berapa (peruntukan pada) 2024, (ia) tambah daripada RM5.99 bilion untuk keseluruhan perbelanjaan Persekutuan kepada RM7.23 bilion, jadi masa saya Perdana Menteri, tambah sebenarnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Peluncuran Loji Janakuasa Solar Hibrid Cypark di Merchang di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Anwar berkata, kerajaan Persekutuan menyambut baik dan menyokong segala projek pembangunan yang memberi keutamaan kepada projek yang memberi manfaat kepada rakyat.

"Saya ada maklumat terperinci dari Kementerian Kewangan dan ada beberapa bidang keutamaan yang saya bincang dan belum pernah berlaku sebelum ini iaitu di mana kepimpinan kerajaan Persekutuan, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri semua duduk bersama dengan kerajaan negeri bincang keutamaan.

"Kadang-kadang keutamaan difikirkan di Putrajaya tak sama dengan keutamaan negeri, maka, kita ubah suai selepas dengar negeri (dan) kita ubah supaya memenuhi keperluan negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 3:54 PM