Tun Dr Mahathir
Tun Dr Mahathir
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Tun Dr Mahathir Mohamad merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya bagi memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Batu Puteh.

Dalam permohonan berkenaan, Dr Mahathir memohon perintah supaya RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, dijalankan secara terbuka.

Beliau memfailkan notis rayuan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan melalui firma guaman Law Practice of Rafique, semalam.

Pada 12 Jun lalu, Hakim Datuk Amarjeet Singh turut menolak permohonan sama dikemukakan Dr Mahathir bagi perintah melarang Tun Md Raus Sharif daripada bertindak sebagai pengerusi RCI dan Datuk Dr Baljit Singh Sidhu serta Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir daripada menjadi ahli RCI.

Permohonan Dr Mahathir untuk menangguhkan prosiding RCI sehingga penyelesaian akhir permohonan berkenaan, turut ditolak mahkamah.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonannya supaya dibenarkan memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah memaksa RCI membenarkan beliau dan peguamnya hadir sepanjang prosiding berkenaan.

Dr Mahathir memfailkan permohonan itu pada 5 Jun lalu, dengan menamakan Md Raus dan timbalannya, Tan Sri Zainun Ali sebagai responden pertama dan kedua.

Manakala, ahli RCI iaitu Baljit, Datuk Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin, Prof Datin Dr Faridah Jalil, Datuk Mohammed Ridha, Dickson Dollah dan Setiausaha RCI Zamri Misman dinamakan sebagai responden ketiga hingga kelapan.

Dr Mahathir selaku pemohon, turut memohon satu perisytiharan bahawa beliau adalah individu yang menjadi perkara dalam siasatan RCI atau terbabit dengan perkara yang sedang disiasat oleh suruhanjaya berkenaan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Dalam afidavit sokongan yang diikrarkannya, Dr Mahathir berkata, beliau dinasihati oleh peguam, bahawa pelantikan Raus sebagai Pengerusi RCI menimbulkan kecenderungan berlaku ketidakadilan dan berat sebelah.

Dr Mahathir juga berkata, keputusan RCI untuk tidak mengadakan prosiding secara terbuka kepada orang awam, adalah tidak munasabah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 3:58 PM