VAN dipandu suspek terbabas selepas polis melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kenderaan itu. FOTO tular
VAN dipandu suspek terbabas selepas polis melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kenderaan itu. FOTO tular
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Polis terpaksa melepas tembakan terhadap kenderaan dipandu seorang lelaki selepas suspek cuba melanggar anggota penguat kuasa di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, hari ini.

Kejadian jam 8 pagi itu berlaku ketika sepasukan polis cawangan trafik menjalankan Op Perdagangan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, sebelum itu pihaknya mengesan sebuah van dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, polis kemudian mengejar kenderaan itu sejauh lima kilometer sehingga ke Jalan Datuk Ismail Hashim.

"Polis terpaksa melepaskan satu tembakan ke arah tayar hadapan van apabila suspek cuba melanggar anggota sebelum kenderaan itu terbabas di bahu jalan.

"Susulan itu, seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kamarul Rizal berkata, dalam kejadian itu, turut berlaku kemalangan antara van dipandu suspek dengan kenderaan lain yang diparkir di bahu jalan.

"Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai lesen memandu.

"Pemeriksaan rekod lampau mendapati suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau manakala ujian saringan air kencing didapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Beliau berkata, suspek juga mempunyai rekod dikehendaki bersabit kes mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya pada 2023.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960 kerana melepas tembakan di tempat awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 3:16 PM