ANTARA langkah yang diambil termasuk wajib minum air kosong sekurang-kurangnya 1.5 liter sehari untuk mengelak dehidrasi. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
ANTARA langkah yang diambil termasuk wajib minum air kosong sekurang-kurangnya 1.5 liter sehari untuk mengelak dehidrasi. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Zulfaizan Mansor


Phnom Penh: Minum banyak air kosong dan 'berkurung' dalam bilik menjadi antara langkah yang dilakukan atlet negara bagi mengekalkan tahap kesihatan terbaik ketika menghadapi cuaca panas melampau di Kemboja sekarang ini.

Langkah itu penting dalam mengelak terkena kesan utama penyakit bawaan haba seperti strok haba yang menjadi kebimbangan utama kontinjen negara di Sukan Sea Kemboja 2023.

Kapten pasukan bola sepak bawah 22 tahun negara, Azam Azmi Murad memaklumkan dia dan rakan sepasukan turut mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan kesihatan dan prestasi mereka akibat cuaca panas.

Tonggak pertahanan itu berkata, antara langkah yang diambil termasuk wajib meminum air kosong sekurang-kurangnya 1.5 liter sehari untuk mengelak dehidrasi.

"Semua tahu kalau cuaca panas kita kena minum banyak air. Bagi saya penting untuk kekal hidrasi dalam badan dan kita wajib minum 1.5 liter (sehari) dan pengurusan pasukan juga sentiasa mengambil berat mengenai perkara itu," katanya.

Cuaca panas dan kering di Kemboja dengan suhu boleh mencecah sehingga 40 darjah selsius sekali gus strok haba mungkin boleh menyerang atlet terutama mereka yang terdedah kepada cahaya matahari terlalu lama.

Penjaga gol skuad hoki dalam dewan lelaki, Mohd Hazrul Faiz Ahmad Sobri menjelaskan dia banyak menghabiskan masa di perkampungan sukan sahaja selepas sesi latihan dan perlawanan.

"Kami bernasib baik kerana beraksi dalam dewan dan tidak perlu banyak berada di luar. Namun, sama seperti atlet lain kami banyakkan minum air kosong selain hanya keluar untuk berlatih dan mengharungi perlawanan," katanya.

Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Sea 2023, Datuk Mohd Nasir Ali menjelaskan semua delegasi Malaysia terutama sukan yang beraksi di luar dewan sudah dimaklumkan untuk mengambil langkah yang perlu bagi menghadapi cuaca panas.

Malah, beliau percaya semua persatuan atau pengurusan pasukan sedia maklum mengenai perkata itu dan panduan sebaik mungkin sudah diberikan kepada atlet.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Nur Azmi Ahmad pula berkata, bagi skuad karate semua atlet sudah diberikan panduan untuk menjaga kesihatan mereka ketika menghadapi cuaca panas.

"Kira sarankan atlet supaya kurangkan aktiviti luar dan keadaan mereka sentiasa dipantau oleh pasukan perubatan sebagai langkah kita mencegah perkara yang tidak diingini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 1:02 PM