SHARMENDRAN buru pingat emas keempat berturut-turut.
SHARMENDRAN buru pingat emas keempat berturut-turut.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jaguh karate negara, R Sharmendran tidak pernah terfikir untuk diberi penghormatan menjadi pembawa Jalur Gemilang pada temasya Sukan Sea Kemboja bermula 5 hingga 17 Mei ini.

Jelas atlet berusia 31 tahun itu, ia sudah pasti satu kebanggaan untuknya menggalas tugas itu kerana tidak ramai atlet memperoleh peluang sedemikian.

"Dulu saya pernah lihat senior saya diberi tanggungjawab menjadi pembawa Jalur Gemilang untuk Sukan Solidariti Islam. Ketika itu, pernah terfikir kalaulah satu hari nanti saya dapat peluang yang sama.

Tapi selepas itu saya tak pernah berharap.

"Sekarang saya diberi peluang ini di mana tugasnya lebih berat berbanding menggalasnya (Jalur Gemilang) di dada," katanya.

Sharmendran yang bakal berusia 31 tahun November depan, memburu pingat emas keempat berturut-turut dalam kategori Kumite Lelaki 75kg, selepas memenangi emas acara yang sama di temasya Kuala Lumpur 2017, Filipina 2019 dan Vietnam 2021.

"Sudah pasti saya mahu berikan segala-galanya. Ia bukan saja soal mahu memenangi pingat (emas), tetapi lebih daripada itu. Apapun saya perlu fokus pada setiap perlawanan terlebih dahulu.

"Kepada semua atlet negara, pastikan kita berjuang habis-habisan di bumi Kemboja kerana ia satu kebanggaan dapat mewakili Malaysia," katanya.

Sharmendran bakal menjadi wakil karate kedua membawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan Sukan Asia Tenggara itu, selepas R Puvaneswaran pada temasya Sukan Sea ke-22 di Hanoi pada 2003.

Kontinjen Malaysia yang dibarisi 914 atlet dan pegawai bakal menyertai 34 jenis sukan yang dipertandingkan pada edisi kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2023 @ 2:51 PM