Wan Izzati Amir


Kuala Lumpur: R Sharmendran nama tidak asing lagi dalam dunia sukan karate selepas banyak mencatatkan pelbagai kejayaan dalam sukan itu.

Ketua pasukan karate negara yang memenangi pingat emas di Sukan Sea Kemboja dalam kategori kumite lelaki 75 kilogram (kg) baru-baru itu juga memenangi emas acara sama di temasya Kuala Lumpur 2017, Filipina 2019 dan Vietnam 2021.

"Saya berminat dan mula terlibat dalam dunia sukan karate pada usia 10 tahun. Pada mulanya ternampak orang berlatih karate di gelanggang badminton, jadi saya terus minta izin emak untuk sertainya.

"Pengalaman pertama menyertai Sukan Malaysia (Sukma) pada usia 20 tahun dan selepas itu saya berpeluang menyertai Majlis Sukan Malaysia (MSN).

"Atlet yang turut diberi penghormatan menjadi pembawa Jalur Gemilang pada temasya Sukan Sea Kemboja yang lalu juga berkata, emaknya, S Sambornam merupakan antara individu penting di sebalik kejayaan selama ini.

"Penyokong utama sudah semestinya emak. Kehidupan keluarga kami susah dan sejak ayah kemalangan, emak terpaksa bekerja seorang diri. Dengan pengorbanan dilakukan saya sangat bangga dengan emak saya.

"Dia berjaya membesarkan kesemua anak-anaknya sehingga semua memiliki kehidupan selesa hari ini," katanya.

Atlet berusia 31 tahun itu berkata berkat sokongan teguh pasukan kejurulatihan dan beberapa individu sekelilingnya juga merupakan faktor dia dapat bertahan sehingga berjaya mencipta kejayaan.

"Banyak kali saya pernah rasa ingin berputus asa terutamanya, pada awal remaja sehingga rasa tidak mahu pergi latihan. Sukan Sea pertama saya pada 2013 telah kalah final 0-1 dan kekalahan itu membuatkan saya lagi kecewa.

"Tetapi jurulatih saya, Andris Vas Anderson tidak pernah putus asa memberi semangat kepada kami semua dan dia sebenarnya membentuk diri saya menjadi seorang yang baik, pejuang hebat, dan pemimpin berkualiti. Banyak perkara saya telah belajar daripadanya," kata Sharmendran.

Antara pencapaian terbaik atlet itu antaranya memenangi pingat perak di Uzbekistan untuk acara berpasukan pada 2012 dan kemenangan itu sangat bermakna buat Malaysia kerana merupakan pingat pertama negara dalam acara karate berpasukan.

"Untuk pencapaian terbaik peribadi, saya pernah menang gangsa di Kejohanan Asia di Kazakhstan pada 2017 dan tahun yang sama juga saya menang emas di Sukan Sea.

"Pingat emas di Sukan Sea Malaysia pada 2017 merupakan kenangan yang paling manis bagi saya kerana dapat menang di tanah air sendiri," katanya.

Olahragawan Selangor 2021/2022 itu juga berkata, segala kejayaan yang diperolehnya pada hari ini tidak dapat dibeli dengan wang ringgit, tetapi ia hasil daripada titik peluh, pengorbanan dan kerja keras telah dilakukannya.

Pencapaian Sharmendran memenangi empat kali pingat emas berturut-turut di Sukan Sea merupakan antara bukti kecemerlangannya dalam dunia sukan karate negara.

Sebagai ketua pasukan, atlet berusia 31 tahun itu dengan jelas menyatakan keinginannya untuk menetapkan standard yang tinggi supaya atlet muda karate dapat menjadikannya sebagai satu cabaran untuk diri mereka.

Sharmendran dan pasukan karate negara bakal menjalani kem latihan di Mesir untuk membuat persiapan bagi menghadapi Kejohanan Karate Asia yang akan berlangsung di Malaysia sebelum menghadapi Sukan Asia Hangzhou.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 8:21 PM