HANNAH berkata dakwaan Kelantan dinafikan hak tuan rumah Sukma satu fitnah. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
HANNAH berkata dakwaan Kelantan dinafikan hak tuan rumah Sukma satu fitnah. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh telah membuat laporan polis berhubung kenyataan Ketua Pemuda PAS Kelantan Mohamad Kamal Mohamed mengenai isu penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2024.

Hannah menerusi ciapan Twitternya berkata pejabatnya membuat laporan itu susulan dakwaan Mohamad Kamal bahawa beliau menafikan hak Kelantan untuk menjadi tuan rumah temasya berkenaan.

Beliau berkata dakwaan itu adalah satu fitnah kerana Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat bersetuju untuk negeri itu menganjurkan edisi 2028, yang memberikan masa tambahan bagi membuat persediaan dan pembinaan fasiliti sukan di Kelantan.

"Doakan untuk saya. Difitnah orang Bersatu semalam, hari ini Ketua Pemuda PAS Kelantan pula fitnah, pejabat saya membuat laporan polis," katanya.

Semalam, sebuah media tempatan melaporkan bahawa Mohamad Kamal mendakwa Hannah menggunakan kuasanya sebagai menteri untuk menafikan hak Kelantan menganjurkan Sukma 2024.

Johor sepatutnya menganjurkan edisi 2020, namun penganjuran itu dibatalkan kerana pandemik Covid-19 dan negeri itu dipilih untuk menganjurkan edisi 2024, diikuti edisi 2026 di Kelantan, manakala MSN menganjurkan edisi 2022 di Lembah Klang pada September lepas.

Namun, keputusan terbaharu Jawatankuasa Tertinggi Sukma menyaksikan Sarawak menjadi tuan rumah edisi 2024, MSN menganjurkan edisi 2026 dan diikuti Kelantan pada 2028.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 8:46 PM