Hannah (tengah) bergambar bersama exco Belia dan Sukan Negeri, selepas mesyuarat jawatankuasa dan majlis menandatangani Kod Sukan Selamat di sini, hari ini. FOTO Zulkarnain Azman
Hannah (tengah) bergambar bersama exco Belia dan Sukan Negeri, selepas mesyuarat jawatankuasa dan majlis menandatangani Kod Sukan Selamat di sini, hari ini. FOTO Zulkarnain Azman
Zulkarnain Azman


Putrajaya: Kelantan dipilih buat kali pertama sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) sejak penganjurannya pada 1986 oleh Jawatankuasa Tertinggi temasya itu hari ini.

Jawatankuasa yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh itu turut mengumumkan Sarawak sebagai tuan rumah tahun 2024 manakala Majlis Sukan Negara (MSN) akan menganjurkannya pada 2026.

"Selepas giliran Sarawak selaku tuan rumah edisi Sukma 2024, temasya Sukma pada tahun 2026 akan dianjurkan oleh MSN. Kelantan pula bersetuju untuk menerima tanggungjawab selaku tuan rumah Sukma 2028 untuk memberikan mereka tempoh persiapan yang lebih panjang.

"Rasional sistem penggiliran tuan rumah itu bertujuan untuk mengurangkan beban kerajaan Persekutuan bagi memberikan bantuan kewangan kepada negeri-negeri yang meliputi peruntukan pembinaan dan naik taraf infrastruktur sukan, kos penganjuran dan juga pembiayaan program persediaan atlet di peringkat negeri," katanya.

Beliau berkata kepada media selepas mesyuarat jawatankuasa dan majlis menandatangani Kod Sukan Selamat bersama exco Belia dan Sukan Negeri, di sini, hari ini.

Hannah dalam pada itu berkata, jawatankuasa turut meluluskan cadangan supaya 28 jenis sukan wajib dipertandingkan, bermula di Sarawak pada tahun depan.

"Senarai 28 jenis sukan wajib yang akan dipertandingkan pada Sukma 2024 ialah akuatik (renang dan terjun), angkat berat, badminton, berbasikal (trek dan lebuhraya), gimnastik (artistik dan gimrama), golf, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga, pelayaran, hoki, judo, ping pong, taekwondo, karate, boling padang, pencak silat, sepak takraw, skuasy, tenpin bowling, wushu, bola sepak, ragbi, bola jaring, bola keranjang, bola tampar dan tenis.

"Sarawak selaku tuan rumah Sukma 2024 juga diberikan pilihan memasukkan beberapa sukan tambahan dan memutuskan untuk menyenaraikan empat jenis sukan iaitu tinju, muay thai, petanque dan sukan elektronik (esukan) bagi temasya Sukma 2024, tertakluk kepada jumlah minimum penyertaan enam negeri seperti terkandung dalam Peraturan Am Sukan Malaysia.

"Jawatankuasa juga bersetuju untuk MSN mengadakan beberapa sesi libat urus bersama persatuan sukan kebangsaan dan pemegang taruh yang berkaitan bagi mengkaji kemungkinan membuka penyertaan kepada lebih banyak jenis sukan untuk dipertandingkan pada edisi temasya Sukma pada masa hadapan," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihaknya nyata sudah bersedia untuk menerima tanggungjawab itu selepas turut pernah menjadi tuan rumah Sukma pada 2016 dan 1990.

"Saya rasa Sarawak mempunyai kemudahan mencukupi seperti di Kompleks Sukan di Kuching, saya rasa kompleks sukan negeri terbesar di Malaysia yang berada di satu tempat.

"Cuma satu saja, kita tak ada velodrom...kalau fasiliti lain seperti lapangan sasar, padang ragbi itu semua kita sudah ada.

"Untuk Sukma kali ini, kita bercadang untuk diadakan bukan saja di bandaraya Kuching tetapi dipecah-pecahkan lagi di bandar atau bandaraya lain seperti Miri, Sibu dan Sri Aman supaya lebih ramai rakyat menikmati dan memberikan sokongan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 4:16 PM