WOODS akan kembali beraksi dalam kejohanan profesional. FOTO AFP
WOODS akan kembali beraksi dalam kejohanan profesional. FOTO AFP
AFP

Washington: Tiger Woods berkata dia akan kembali beraksi di Cabaran Hero World yang akan menjadi penampilan pertama jaguh gol itu sejak Terbuka Britain, Julai lalu.

Juara kejohanan utama 15 kali itu membuat ciapan di Twitter yang mengesahkan pembabitannya dalam kejohanan disertai 20 pemain itu di Albany, Bahamas, bermula 1 hingga 4 Disember.

Woods yang juga juara lima kali kejohanan itu akan menyertai rakan senegaranya dari Amerika Syarikat (AS), Kevin Kisner dan pemain England, Tommy Fleetwood.

"Saya tidak sabar untuk mengumumkan akan bermain di kejohanan #HeroWorldChallenge tahun ini," kata Woods.

"Selamat datang kepada @K_Kisner dan @TommyFleetwood1 yang akan menyertai kami. Jumpa anda tidak lama lagi di Albany!"

Minggu ini, Woods dilihat menjadi kedi kepada anaknya, Charlie dan sebelum ini dia menyuarakan keinginan untuk bermain di 'The Match', iaitu perlawanan pertunjukan 12 lubang yang akan disertai Rory McIlroy, Jordan Spieth dan Justin Thomas pada 10 Disember.

Ia bakal menyaksikan penutup musim 2022 yang sibuk selepas jadualnya dirombak semula sebaik pulih daripada kecederaan akibat kemalangan kereta yang nyaris meragut nyawanya.

Woods terlepas aksi Terbuka Britain di St Andrews, selepas memenangi acara sukan utama tertua dunia itu dua kali di Scotland pada 2000 dan 2005.

Pemain berusia 46 tahun itu hanya beraksi tiga kejohanan utama pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 11:01 AM