RANDOLPH  Ross. FOTO AP
RANDOLPH Ross. FOTO AP
AFP

Paris: Pelari pecut Amerika Syarikat (AS), Randolph Ross, yang memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo, digantung selama tiga tahun kerana melanggar peraturan anti-doping, umum Unit Integriti Olahraga (AIU), hari ini.

Ross adalah sebahagian kuartet 4x400 meter (m) AS yang memenangi emas di Tokyo tahun lalu walaupun dia hanya beraksi di peringkat saringan dan bukan di final.

Atlet berusia 21 tahun itu digantung sementara dan dikecualikan daripada bertanding dalam Kejohanan Olahraga Dunia di Eugene, Oregon pada Julai tahun ini, sehari sebelum dia dijadual bertanding dalam acara 400m.

Ross digantung kerana tiga pelanggaran peraturan doping dalam masa kurang dari setahun.

Untuk mengelakkan pelanggaran kali ketiga, dia mengakui memalsukan e-mel yang sepatutnya membersihkan namanya pada awal Julai, kesalahan yang ditemui oleh AIU sekali gus meningkatkan hukuman penggantungannya sehingga 30 Jun 2025.

"Asas kepada pentadbiran sukan yang betul adalah atlet perlu jujur ​​dalam berurusan dengan AIU semasa sebarang siasatan," kata ketua AIU Brett Clothier.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 12:28 PM