AIMAN (dua dari kanan) berada dalam kelompok depan pada peringkat pertama LTdL 2022 dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur, hari ini. FOTO FATHIL ASRI
AIMAN (dua dari kanan) berada dalam kelompok depan pada peringkat pertama LTdL 2022 dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur, hari ini. FOTO FATHIL ASRI
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff sedia untuk meneruskan aksi terbaik pada dua peringkat seterusnya di saingan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 bagi mengekalkan gelaran Raja Bukit yang diraihnya dua tahun lalu.

Pada perlumbaan peringkat pertama dari Kuala Pilah ke K sejauh 157.3 kilometer (km) hari ini, Aiman berjaya menguasai zon pendakian kedua dan ketiga daripada lima, namun harus membantu rakan sepasukannya, Jambaljamts Sainbayar untuk membolehkan Jersi Merah kekal di tangan pasukan itu.

Sainbayar ketika ini mendahului Jersi Merah dengan 15 mata manakala Aiman berada di kedudukan kedua dengan 11 mata dan pelumba Thailand Continental Cycling Team (TCC), Peerapol Chawchiangkwang, ketiga dengan tujuh mata.

Menurut Aiman yang secara peribadi mahu mengekalkan gelaran Raja Bukit diraihnya pada edisi 2020 berkata, dia akan cuba yang terbaik bermula pada Peringkat 2 yang dijadual berlangsung dari Kuala Kelawang ke Raub, esok sebelum saingan sebenar di Genting Highlands selepas itu.

"Ada lagi esok dan ketiga (peringkat) yang menyediakan laluan sukar dan banyak laluan pendakian," kata Aiman.

"Aiman akan cuba lagi dan yang menang pada kali ini pun kawan sepasukan Aiman sendiri.

"Jadi Aiman akan membantu dia dan berpotensi untuk dapatkan jersi. Oleh itu, Aiman akan bergandingan dengan dia untuk cuba mengekalkan Jersi Merah ini dan Aiman pula akan tetap cuba dapatkan jersi itu.

"Untuk (laluan) Genting Highlands, Aiman akan tengok dulu bagaimana situasi esok. Kalau boleh membuat pemecahan, Aiman akan cuba mengumpul mata dulu kerana Aiman dan dia pun hanya dibezakan empat mata.

"Jadi Aiman akan menolong dia mengekalkan jersi itu dan (dalam masa sama), akan 'kacau' mata kedudukan ketiga dan keempat. Kalau tak dapat membuat pemecahan esok, Aiman perlu fokus untuk Genting pula."

Peringkat kedua 2022 dijadual berlangsung dari Kuala Kelawang ke Raub yang membabitkan laluan sejauh 178.9km dan menyediakan dua zon pendakian di Petaseh (KM 8.2) dan Bukit Damar (KM 122.8).

Selain itu, laluan itu turut mempunyai tiga zon pecutan iaitu di Simpang Durian (KM 42.7), Karak (KM 96.8) dan Mempaga (KM 144.1).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 6:36 PM