AKSI Mohd Muizzudin Sanip hari ini. FOTO Bernama
AKSI Mohd Muizzudin Sanip hari ini. FOTO Bernama
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Sukan boling padang menjadi medan buat kontinjen Wilayah Persekutuan (WP) menambah dua lagi koleksi pingat emas di Sukan Malaysia (Sukma) 2022, hari ini.

Emas pertama disumbangkan oleh gandingan Mohd Muizzuddin Sanip dan Muhamad Huzaimi Junaidi menerusi acara pairs lelaki.

Pada aksi final yang berlangsung di Kompleks Sukan, Bukit Kiara itu juga menyaksikan Muizzuddin-Huzaimi beraksi dengan penuh konsisten untuk membenam cabaran daripada wakil Perak (Ahmad Zikri Sazeli dan Mohamed Aqil Syahmi Mohamed Azian), 18-10 dalam 13 ends.

Pingat gangsa menjadi milik pasangan dari Selangor (Mohammad Haikal Roslan dan Muhammad Haiqal Azami) selepas menewaskan Perlis (Muhamad Syazani Suhaimi dan Umairil Taqwa Abdul Rahim) 16-12 dalam saingan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Gandigan berasal dari Labuan itu juga mengakui sasaran mereka dalam temasya yang sudah memasuki edisi ke-20 ini sememangnya pingat emas dan bersyukur apabila ia berjalan mengikut perancangan.

"Sebelum mula perlawanan memang agak gementar juga sebab pertama kali masuk final Sukma. Tapi kami tetap cuba buat yang terbaik juga dan inilah hasilnya.

"Kami berjaya pamerkan aksi konsisten dan banyak bertanya kepada jurulatih untuk minta bimbingan daripada dia. Kami datang ke sini memang sasarkan untuk emas dan alhamdulillah ia menepati sasaran.

"Kami boleh kata, motivasi paling banyak datang daripada keluarga, rakan sepasukan dan juga jurulatih yang sentiasa berikan tunjuk ajar," kata Muizzuddin.

Sementara itu, pingat emas kedua Wilayah Persekutuan hadir menerusi acara fours wanita yang dibarisi Nurul Husna Suraiya Yunus, Nur Aimileeya Ismail, Nurulfarra Adeeba Muhammad Ridhwan dan Aqilah Syazwani Rosland.

Kejayaan itu diraih selepas mereka menjinakkan lawan dari Perlis (Ain Nurnajwa Norhisham, Noor Fahzarina Amiuliya Abu Bakar, Ainaa Nabilah Muhammad Afandi dan Siti Nur Hadziqah Jasly Rofizy), 13-12 biarpun berdepan tentangan sengit sehingga permainan terpaksa diheret hingga ke pusingan penentuan.

Nur Aimileeya Ismail yang membuat lontaran kemenangan buat Wilayah Persekutuan itu berkata, kebangkitan pada penghujung permainan berjaya memastikan keputusan berpihak kepada mereka.

"Mula-mula kami memang ketinggalan agak jauh tapi akhirnya kami dapat kejar pada penghujung permainan. Akhirnya, kami berjaya untuk menang.

"Ini Sukma pertama kami semua jadi kami bersyukur sebab dapat pingat emas hari ini. Alhamdulillah ini semua berkat usaha, doa dan fokus yang diberikan kami semua," katanya.

Pingat gangsa menjadi milik Sarawak (Jamiah Hasbi, Nur Fitrah Rosmadi, Nur Fitri Rosmadi dan Sharifah Syaza Nisrina Mumtaz Wan Jemudin) selepas menewaskan Johor (Nur Auni Rustam, Nur Hafizah Binorhud'da, Nursyazwani Azme dan Yasmin Nur Hani Zuhaizal) 15-14 dalam penentuan tempat ketiga dan keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 3:01 PM