NADHIRAH (kiri) dan Ain Nurnajwa hadiahkan emas kepada jurulatih dan pegurus pasukan, ibu bapa serta juga pihak Majlis Sukan Negeri Perlis. FOTO HAZREEN MOHAMAD
NADHIRAH (kiri) dan Ain Nurnajwa hadiahkan emas kepada jurulatih dan pegurus pasukan, ibu bapa serta juga pihak Majlis Sukan Negeri Perlis. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Kilauan pingat emas terakhir buat kontinjen Perlis dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2022 hadir menerusi sukan boling padang bagi acara pairs wanita.

Nur Nadhirah Azmi dan Ain Nurnajwa Norhisham yang mewakili Perlis berjaya mencatat kemenangan ke atas gandingan Kedah, Nurul Alia Fitrah Mohamad Ali dan Athirah Mohd Rodzi 24-5 dalam perlawanan akhir di Kompleks Boling Padang, Bukit Kiara, hari ini.

Pingat gangsa menjadi milik gandingan dari Sarawak, Fatin Izzati Mohamad Nizamri dan Jamiah Hasbi selepas menewaskan Sabah (Dayangku Haslyn Suraya Awang Husin dan Norcahaya Zakaria) 13-11.

Ain Nurnajwa yang kelihatan sebak selepas tamat saingan itu berkata, ia adalah hadiah paling bermakna memandangkan ini adalah penampilan terakhir mereka dalam Sukma dan juga kemenangan pertama sejak Sukma Sarawak 2016.

"Saya sangat berpuas hati sebab Sukma Perak 2018 kami dapat Perak. Sebelum datang ke sini juga saya cedera (tisu lembut di lutut kiri) tapi akhirnya dapat juga pingat emas, saya sangat berpuas hati.

"Pingat emas ini kami hadiahkan kepada jurulatih dan pegurus pasukan, ibu bapa dan juga pihak Majlis Sukan Negeri (MSN)," katanya kepada media.

Dia turut mengakui bahawa kejayaan ini adalah penamat yang baik buat kontinjen Perlis kerana berjaya menutup tirai saingan dengan kilauan pingat emas selain berharap dapat meneruskan karier sebagai wakil negara selepas ini.

"Ini penutup yang agak baik untuk kontinjen Perlis dan saya ucapkan selamat maju jaya kepada atlet yang akan bertanding di Sukma akan datang sebab ini adalah penampilan terakhir kami.

"Kalau berpeluang saya mahu meneruskan karier dalam pasukan kebangsaan pula. Mungkin kami juga akan bersama dalam kejohanan-kejohanan akan datang selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 5:31 PM