EVAN meraikan kejayaan muncul juara acara recurve individu lelaki, hari ini. FOTO OWEE AH CHUN
EVAN meraikan kejayaan muncul juara acara recurve individu lelaki, hari ini. FOTO OWEE AH CHUN
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Atlet memanah berusia 16 tahun, Evan Rich Chong tidak menyangka penampilan sulungnya di pentas Sukan Malaysia (Sukma) 2022 berjaya menghadiahkan emas buat kontinjen Sabah.

Evan muncul juara acara recurve individu lelaki selepas menewaskan pemanah Pulau Pinang, Naveer Fikri Zinuldin 6-0 di pentas final yang berlangsung di Stadium Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini.

Menurutnya, dia berpuas hati dapat menyumbang pingat emas buat kontinjen negerinya selepas dua tahun menceburi sukan memanah.

"Memang saya tidak menyangka dapat meraih pingat emas ini kerana atlet lain memberi saingan sengit. Apapun ini hasil kerja semua semua pihak termasuk jurulatih dan bukan kejayaan saya seorang.

"Sasaran selepas ini lebih besar iaitu untuk cuba menempatkan diri selaku atlet kebangsaan dan mengembangkan lagi karier saya," katanya.

Pingat gangsa bagi acara itu dimenangi pemanah Terengganu, Saiful Islam Rizuwan yang mengalahkan atlet Kedah, Arif Hidayat Sha'ari 7-1 dalam penentuan tempat ketiga.

Sementara itu, bagi kategori recurve individu wanita, emas menjadi milik pemanah Wilayah Persekutuan, Alia Qursyiah Mazlan yang menewaskan wakil Sarawak, Joey Tan 6-2, manakala gangsa dimenangi Supang Yahya (Sarawak).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 7:47 PM