AHMAD Faizal (dua dari kiri) berkata beliau maklum dengan pandangan jurulatih dari Perak yang turut memberi cadangan ia sepatutnya daripada jumlah penyertaan. FOTO L MANIMARAN
AHMAD Faizal (dua dari kiri) berkata beliau maklum dengan pandangan jurulatih dari Perak yang turut memberi cadangan ia sepatutnya daripada jumlah penyertaan. FOTO L MANIMARAN
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kementerian Belia dan Sukan menafikan wujudnya unsur sabotaj di kalangan persatuan sukan yang terbabit dalam penganjuran kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan terdapat beberapa pandangan sebelum jawatankuasa SUKMA memutuskan jumlah negeri yang memasuki acara yang ditetapkan.

"Tiada sabotaj, sebenarnya begini ia terdapat beberapa pandangan dan setakat ini kita memutuskan bagi acara yang mempunyai lapan negeri yang memasukinya kita sudah turunkan menjadi enam negeri.

"Ada cadangan hendak beberapa acara itu diturunkan kepada lima negeri, itu sedang kita perhalusi," katanya pada sidang media hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Rukun Negara @ Belia (RNB) di Aeon Mall Klebang di sini hari ini.

Ahmad Faizal berkata, beliau maklum dengan pandangan jurulatih dari Perak yang turut memberi cadangan ia sepatutnya daripada jumlah penyertaan.

"Bagi negeri kecil atau tidak mempunyai atlet dalam acara itu ianya tidak adil.

"Saya berpandangan kalaupun tidak cukup apabila diturunkan daripada lapan negeri penyertaan kepada enam untuk mendapatkan lebih ramai penyertaan tetapi masih tidak berjaya.

"KBS melalui Majlis Sukan Negara (MSN) akan menganjurkan kejohanan bertaraf Kebangsaan bagi acara berkenaan bagi membolehkan atlet kita terus bertanding," katanya.

Hari ini media melaporkan, Persatuan sukan yang terbabit dengan pengguguran 12 acara pada kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2022 perlu bertanggungjawab terhadap isu yang berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed dilaporkan berkata, persatuan-persatuan sukan sepatutnya memastikan rangkaian mereka di negeri-negeri mempersiapkan atlet untuk kejohanan tersebut.

Menurutnya, pengguguran acara di saat akhir amat tidak wajar dan tidak adil kepada atlet-atlet yang membuat persediaan.

Sementara itu, berkenaan program Rukun Negara @ Belia (RNB), Ahmad Faizal berkata, program anjuran Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) itu dapat meningkatkan semangat cintakan tanah air dalam kalangan belia.

"Ini adalah usaha KBS untuk mendekatkan lagi jarak antara Kementerian dan agensi antara anak-anak muda.

"Program sebegini perlu diperkemaskan dan dibuat lebih rancak pada masa akan datang untuk mendekati golongan belia dalam usaha pembangunan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 7:00 PM