WAKIL negara yang beraksi dalam acara catur di AUG.
WAKIL negara yang beraksi dalam acara catur di AUG.
Syazwan Msar


Ubon Ratchathani: Walaupun acara catur baru berlangsung tiga hari tetapi peluang kontinjen negara untuk membolot kesemua empat pingat emas ditawarkan pada Sukan Universiti Asean (AUG) 2022 dilihat amat cerah.

Ia berdasarkan prestasi semasa ditunjukkan barisan pemain lelaki dan wanita yang sekali gus memberikan petanda positif untuk mereka mendominasi kategori individu serta berpasukan.

Namun, jurulatih skuad catur AUG Mohd Ezmi Mahmood tidak mahu anak-anak buahnya terlalu yakin, sebaliknya mengekalkan fokus pada tahap terbaik dalam baki saingan di Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat.

"Lelaki sudah bermain empat pusingan dan wanita dua pusingan. Setakat ini, 95 peratus peluang untuk menang dan yakin empat emas boleh jadi milik kita.

"Ini adalah skuad kedua kerana pasukan utama dihantar ke India untuk Chess Olympiad 2022. Kita perlu manfaatkan 'peluru' yang ada dan inilah sebenarnya peluang mereka menyinar buat negara," katanya.

Sandaran utama skuad catur, Tan Li Ting juga meluahkan keyakinannya apabila kini tidak lagi merasai tekanan besar selepas berakhirnya dua pusingan bagi kategori wanita semalam.

"Sekarang saya rasa lebih tenang. Saya harap kami dapat bermain pada tahap yang sama atau meningkatkannya lagi bagi mencerahkan peluang dalam acara berpasukan dan individu," katanya.

Sebagai rekod, Li Ting yang adalah penuntut di Universiti Multimedia, pernah memenangi dua pingat emas dalam kategori individu dan berpasukan wanita pada edisi 2018 di Nay Pyi Daw, Myanmar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2022 @ 2:14 PM