SM Muthu turut yakin barisan atlet negara mampu untuk meraih tujuh perak dan lima gangsa. FOTO NSTP
SM Muthu turut yakin barisan atlet negara mampu untuk meraih tujuh perak dan lima gangsa. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) melontarkan keyakinan bahawa mampu membawa pulang lima emas pada temasya Sukan Sea Hanoi Mei ini.

Presidennya, Datuk SM Muthu, berkata berdasarkan prestasi semasa atlet negara, sasaran lima emas itu adalah realistik.

Katanya, beliau turut yakin barisan atlet negara mampu untuk meraih tujuh perak dan lima gangsa.

"Pada edisi 2019 di Filipina, skuad olahraga negara berjaya menepati sasaran lima emas selain turut membawa pulang sembilan perak dan tujuh gangsa.

"Kali ini saya percaya mereka mampu untuk mempertahankan pingat yang disasarkan itu," katanya.

Lima emas Malaysia hadir menerusi Muhammad Haiqal Hanafi (100m), Lee Hup Wei (lompat tinggi lelaki), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Yap Sean Yee (lompat tinggi wanita).

Sementara itu ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata peluang masih terbuka buat semua atlet melayakkan diri dengan Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia hujung minggu ini akan menjadi peluang terakhir mereka.

Malah kejohanan itu juga perlu digunakan sebaik mungkin oleh raja pecut Asia Tenggara, Haiqal melayakkan diri ke temasya dwi tahunan itu sekali gus mempertahankan emas yang diraihnya.

"Saya yakin akan ada lagi atlet negara yang melayakkan diri ke Sukan Sea selepas Terbuka Malaysia nanti.

"Biarpun ada beberapa atlet yang sudah layak namun ia masih belum dimuktamadkan lagi dan ia hanya akan diputuskan berdasarkan keputusan pada saingan Terbuka Malaysia nanti.

"Ini kerana KOM hanya akan memilih atlet terbaik ke temasya berkenaan," katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.

Ketika ini seramai 15 atlet sudah melepasi syarat kelayakan dan mereka yang layak ialah atlet baling tukul besi Jackie Wong; Muhammad Irfan (lempar cakera); Nauraj Singh (lompat tinggi); Mohd Iskandar Alwi (lompat bergalah); Mohammad Amirul Arif Mohd Azri, K Prabudass, Ahamd Lut Hamizan, M Sanjay (1,500 meter), Muhammad Zulfiqar Ismail (pelari pecut) Russel Alexander Nasir Taib (pecut), Muhammad Arsyad Md Saat (pecut).

Bagi kategori wanita Grace Wong (Baling tukul besi) Queenie Ting (lempar cakera) Choo Kang Ni (lempar cakera)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 10:07 PM