AKSI Al Jufferi  (kiri) ketika menentang Alvin T Campos di  MITC, Ayer keroh, hari ini. - FOTO Bernama
AKSI Al Jufferi (kiri) ketika menentang Alvin T Campos di MITC, Ayer keroh, hari ini. - FOTO Bernama
BERNAMA

Melaka: Pesilat negara Mohd Al Jufferi Jamari mara ke pusingan separuh akhir kategori Tanding Kelas F Lelaki Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022, selepas menewaskan lawannya dari Filipina Alvin T Campos dalam aksi yang tegang.

Pada perlawanan itu, beberapa insiden kekasaran berlaku selain bantahan dibuat pasukan Filipina sebelum juara dunia tiga kali itu, menang dengan keputusan 59-41.

Mohd Al Jufferi mengakui aksi agresif pihak lawan, hampir saja membuatkannya hilang pertimbangan kerana amarah.

"Memang saya agak emosi tadi dengan caranya berlawan dan hampir hilang sabar pada pusingan akhir. Saya tak salahkan dia (Alvin) tetapi caranya agak tidak menyenangkan, terutama ketika menyerang.

"Bila saya pegang tubuh dia ketika menyerang, dia kata (saya) menipu sedangkan dalam peraturan baharu, teknik kunci itu dibenarkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan hari ini.

Katanya beliau sudah menjangkakan perlawanan tersebut akan berlangsung dalam keadaan tegang, memandangkan telah bertemu Alvin sebanyak empat kali sebelum ini, dalam kejohanan berbeza dalam kelas E.

"Cara dia (Alvin) tidak pernah berubah dan anggap itu kelebihan dia. Bagi saya, saya tak boleh mengaku kalah dan wajib untuk saya pertahankan diri daripada dicederakan, terutama apabila dia tahu mengenai kecederaan saya sejak dari awal.

"Paling utama, saya tidak mahu memalukan negara dengan gaya lawan saya," katanya.

Menyentuh aksi separuh akhir menentang wakil Algeria Zetout Abdelmk esok, Mohd Al Jufferi yakin dengan strategi yang disusun oleh barisan jurulatihnya.

Zetout sebelum itu menewaskan pesilat dari Pakistan Muhammad Ammar dengan keputusan 55-11.

Edisi kejuaraan ke-19 yang berlangsung selama enam hari sehingga Ahad di Melaka International Trade Center (MITC), disertai lebih 500 peserta dari 40 negara termasuk Indonesia, Thailand, Filipina, Kanada, Vietnam dan Malaysia selaku tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 9:39 PM