ABDULLOH Jumaboyev
ABDULLOH Jumaboyev

Kuala Lumpur: "Aku lawan dengan orang atau kayu ni," kata pesilat negara, Mohd Al Jufferi Jamari menceritakan semula pengalamannya dan rakan menjalani latihan di Asia Tengah selama 14 hari termasuk berdepan rakan sepelatih legenda seni bela diri campuran (MMA), Khabib Nurmagomedov iaitu Abdulloh Jumaboyev.

Kunjungan ke Uzbekistan, Kazakhstan dan Kyrgyzstan untuk menguji peraturan baharu yang bakal digunakan di Sukan Sea Vietnam 2021 banyak memberi pengajaran berguna buat bekas juara dunia itu.

"Selain berdepan cuaca sejuk dan beraksi di gelanggang terbuka (luar dewan) kami berdepan dengan pesilat dari Asia Tengah yang mempunyai kekuatan fizikal luar biasa," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Menurut Al Jufferi, mereka sekurang-kurangnya memerlukan sesi pemanas badan sejam lebih disebabkan cuaca sejuk selain perlu berdepan jadual yang kurang teratur.

"Di sana banyak kami pelajari dan mereka pula kalau boleh hendak lawan yang juara saja sehingga sanggup menurunkan berat badan. Kalau di Uzbekistan memang kami beraksi di gelanggang luar (terbuka).

''Aksi di sebelah petang masih lagi boleh diterima kerana mempunyai cahaya matahari, tapi di sebelah malam ia mampu mencecah 4 darjah Celsius, saya sendiri beraksi tanpa sebarang peluh.

"Ketika itu saya berdepan dengan rakan sepelatih Khabib, Abdulloh Jumaboyev iaitu juara MMA Asia Tengah sebanyak dua kali. Mereka ini (atlet silat Asia Tengah) jika diberi masa dua atau tiga bulan lagi memang cepat 'tangkap'," katanya.

Al Jufferi mengakui pesilat dari Asia Tengah mempunyai semangat juang yang tinggi dan tidak mudah mengalah.

''Biarlah kena tendang sampai senak sekali pun mereka tidak peduli, kerana mahu menang selagi perlawanan tidak tamat. Fizikal mereka luar biasa, sampai saya terfikir 'aku lawan dengan orang atau kayu ni?

"Sebelum ini saya bangga dengan pesilat Eropah, tapi sekarang ini melihat mereka (Asia Tengah) mampu menjadi pesilat yang liat untuk ditumpaskan. Sebelum ini pun mereka sudah mendapat satu gelaran di Kejohanan Dunia di Singapura pada 2018," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 7:00 AM