SUMALI (dua dari kiri) akan menyerahkan secara rasmi permohonan baru. FOTO OWEE AH CHUN
SUMALI (dua dari kiri) akan menyerahkan secara rasmi permohonan baru. FOTO OWEE AH CHUN
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Kemelut yang melanda sukan sepak takraw negara akhirnya hampir tamat selepas Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bersetuju untuk menghantar permohonan rasmi bagi menyertai semula Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pembubaran seteru mereka, Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (Mastaf) susulan satu ahli gabungan badan berkenaan, Perlis telah membuat keputusan untuk menyertai PSM.

"Insya Allah saya akan menyerahkan secara rasmi permohonan baru untuk jadi ahli gabungan Piala Dunia Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) dan Astaf sejajar dengan hala tuju PSM untuk dapat pengiktirafan antarabangsa setelah mendapati ada sinar untuk kita bergerak ke arah itu.

"Ketika ini saya masih lagi lagi mengamalkan sikap buka pintu untuk empat lagi ahli di pihak sana (Mastaf) bagi menyertai kami kerana kami kini mempunyai ahli yang ramai iaitu sebanyak 19 ahli gabungan terdiri daripada 12 persatuan negeri dan tujuh ahli bersekutu," jelas Sumali yang merujuk kepada status Selangor, Labuan, Putrajaya dan Sarawak yang sebelum ini bernaung di bawah Mastaf.

Dalam masa yang sama, Halim yang turut menyandang jawatan sebagai Setiausaha Agung Istaf menjelaskan pihaknya tidak mempunyai masalah untuk menerima semula PSM dan memberi jaminan tiada syarat pelik akan dikenakan kepada badan induk itu.

Selain itu, Halim juga masih memerlukan minit mesyuarat daripada Mastaf untuk mengesahkan pembubaran badan induk tersebut.

"Saya boleh beri jaminan pisang tidak akan berbuah, bukan sahaja dua tetapi empat kali terhadap PSM, kerana saya juga memajukan sepak takraw di Malaysia" ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 6:09 PM