MUHAMMAD Irfan Shamsuddin ketika sidang media sempena persiapan atlet-atlet negara menjelang Sukan Sea Kemboja. FOTO Bernama
MUHAMMAD Irfan Shamsuddin ketika sidang media sempena persiapan atlet-atlet negara menjelang Sukan Sea Kemboja. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Realiti atau fantasi apabila sasaran 10 pingat emas olahraga yang ditetapkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) pada temasya Sukan Sea Kemboja menimbulkan tanda tanya siapa atlet yang mampu menggalas cabaran itu kelak.

Persoalan itu timbul menerusi atlet lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin apabila melihat sasaran ibarat 'bulan dan bintang' yang ditetapkan KOM itu sebenarnya tidak pernah dirujuk atau dibincangkan bersama jurulatih dan atlet.

Mengakui mahu mempertahankan pingat emas dimenangi di Hanoi, namun Irfan sangsi dengan tindakan KOM yang mengumumkan sasaran itu kepada media sedangkan atlet tertanya-tanya siapakah atlet yang menjadi sandaran itu, terutamanya selepas skuad olahraga dibarisi ramai atlet muda.

"Sepatutnya, adalah lebih baik mereka (KOM) datang dan panggil semua atlet olahraga untuk berbincang berkaitan perancangan (sasaran pingat). Ini adalah sasaran kita bukannya pergi ke media untuk buat pengumuman.

"Jika kami pergi ke media, mereka marah..Jadinya kenapa tak datang kepada atlet, berbincang mengenai sasaran...hantar latihan ke sana dan sini namun secara tiba-tiba terus cakap 10 emas.

"Untuk atlet, apa 10 emas itu dan daripada siapa akan menyumbangnya. Atlet mahu tahu perkara itu.

"Sebagai contoh, sasaran emas daripada Sarah (Nur Sarah Adi)...patutnya beritahu Sarah kita mahu emas daripada kamu dan bolehkah capai sasaran itu?," katanya.

Selain itu, menurutnya, dalam sukan segalanya boleh terjadi kerana prospek pingat emas juga boleh mengalami kecederaan sebelum pertandingan, namun sasaran yang ditetapkan hendaklah berlandaskan realiti.

Katanya, situasi terbabit berbeza dengan Majlis Sukan Negara (MSN) kerana sentiasa membuat perancangan awal selain pegawainya turut hadir melawat sesi latihan atlet.

"KOM juga boleh mencontohi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang sentiasa mengadakan sesi perjumpaan bersama atlet termasuklah MSN juga melakukan perkara sama.

"Sekarang KOM dibarisi ramai muka baharu, apa salahnya panggil atlet dan jurulatih berbincang. Dulu zaman saya berumur 18 dan 19 tahun, kena merayu kepada mereka (KOM) untuk pergi ke kejohanan luar negara.

Sebelum ini KOM menyusun langkah awal apabila meletakkan sasaran untuk membawa pulang 10 pingat emas di Sukan Sea Kemboja yang akan berlangsung dari 5 hingga 16 Mei depan.

Presiden KOM, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, beliau yakin matlamat itu mampu dicapai berdasarkan potensi atlet negara yang ada ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 5:44 PM