GIMNAS negara, Ng Joe Ee (kanan) menunjukkan dua pingat emas yang dimenangi di Sukan Komanwel Birmingham 2022 kepada ibunya, Lim Bee Leng sebaik tiba  di Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA, Sepang. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
GIMNAS negara, Ng Joe Ee (kanan) menunjukkan dua pingat emas yang dimenangi di Sukan Komanwel Birmingham 2022 kepada ibunya, Lim Bee Leng sebaik tiba di Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA, Sepang. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Saiful Affendy Sapran


Sepang: Selepas meraih dua pingat emas di Sukan Komanwel Birmingham 2022, atlet gimrama, Ng Joe Ee mahu segera memberi tumpuan kepada pelajarannya selepas ini.

Atlet berusia 17 tahun itu berkata, dia tidak boleh berlengah lagi kerana bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun depan.

"Sudah tentu saya akan memberikan tumpuan kepada pelajaran kerana sudah setengah tahun saya menumpukan kepada bidang sukan.

"Jadi memang sudah tiba masanya untuk saya kembali tumpukan kepada pelajaran kerana pada tahun depan akan mengambil SPM.

"Saya tak letak sebarang sasaran di SPM, cuma harap dapat raih keputusan terbaik," katanya selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Birmingham, hari ini.

Joe Ee yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Titiwangsa berkata, dia masih tidak pasti mengenai kejohanan akan disertai selepas ini, namun terdekat adalah Sukan Asia Hangzhou yang ditangguhkan ke September tahun depan.

Dia yang kali pertama tampil di Sukan Komanwel mencipta kejutan apabila menghadiahkan dua pingat emas untuk kontinjen negara menerusi disiplin bola dan riben dalam saingan di Arena Birmingham.

Paling manis, dua pingat itu memenuhi sasaran enam emas yang ditetapkan kontinjen negara pada temasya kali ini.

Selain Joe Ee, skuad gimrama negara turut meraih satu gangsa menerusi Izzah Amzan dalam acara belantan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 7:55 PM