SHAH Firdaus bersama jurulatih kebangsaan negara, John Beasley. -FOTO Ihsan MSN
SHAH Firdaus bersama jurulatih kebangsaan negara, John Beasley. -FOTO Ihsan MSN
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Sedar bahawa beban yang bakal digalasnya sangat besar, pelumba berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom bertekad mahu mengambil pendekatan 'berlumba dengan bijak' pada penampilan keduanya di temasya Sukan Komanwel yang dijadual bermula 28 Julai ini di Birmingham.

Dia yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu sedar akan cabaran sengit menunggunya di Birmingham nanti dan pengalaman di Gold Coast 2018 mengajarnya untuk lebih tenang ketika perlumbaan.

Menurut pelumba kelahiran Johor itu, dia akan mengikut pada pelan perlumbaan kerana sedar lawan bakal ditempuhinya bukan calang-calang pelumba iaitu pesaing yang pernah ditemuinya di mana-mana kejohanan atau temasya utama.

"Tekanan masih ada, namun sudah tentu saya mahu melakukan yang terbaik dan menikmati perlumbaan. Apabila saya menikmati perlumbaan, biasanya saya dapat beraksi dengan baik. Saya mempunyai pengalaman di Komanwel, tekanan tinggi dan saya tak boleh memberikan yang terbaik dalam kayuhan, jadi saya belajar daripada situ," katanya.

Ujar Shah Firdaus, kalau beraksi di Piala Dunia ataupun mana-mana kejohanan, semua pelumba ternama ini sentiasa ada dan selalu memberikan tentangan yang sengit.

"Jadi, saya perlu berlumba dengan bijak dan mengikut (pelan) rancangan," katanya yang turut bakal bergandingan bersama adiknya, Muhammad Ridwan untuk acara pecut berpasukan.

Di Gold Coast 2018, Shah Firdaus menamatkan perlumbaan acara pecut di tempat keempat di belakang pemenang gangsa dari Australia, Jacob Schmid manakala pemenang gangsa di Olimpik Tokyo dari Scotland, Jack Carling meraih perak. Emas dimenangi Sam Webster dari New Zealand.

Dia yang baru pulang dari Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di India yang menyaksikan ada antara pelumba negara termasuk dirinya dijangkiti Covid-19 berkata, dia kini baharu kembali menjalani latihan.

"Saya pun baru memulakan latihan kerana di India selepas acara keirin saya kena Covid-19. Saya tak berlumba dalam acara pecut dan apabila nak memulakan (latihan) ada terasa perbezaan itu.

"Apapun saya masih (berfikiran) positif dan secara perlahan-lahan menjalani latihan dan harap saya berada dalam keadaan yang baik di Komanwel nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 12:42 PM