ZONIS yakin lebih tenang di Birmingham.
ZONIS yakin lebih tenang di Birmingham.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Penampilan kali kedua di Sukan Komanwel bakal membuatkan pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis lebih bertambah yakin berbanding empat tahun lalu di Gold Coast.

Menurut pelumba kelahiran Selangor itu, dia yakin akan beraksi dengan penuh tenang dalam acara satu kilometer ujian masa di Lee Valley VeloPark sekali gus dapat menghadiahkan sesuatu buat kontinjen negara.

"Pada 2018 saya menduduki tempat ke-11 tapi kali ini saya cuba mendapatkan kedudukan lebih baik dan jika berjaya meraih medal ia satu bonus buat saya," katanya yang meraih perak di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) baru-baru ini.

Pelumba berusia 25 tahun itu juga yakin dia mampu membuat kayuhan lebih pantas berbanding di Gold Coast berdasarkan pengalaman dan pencapaiannya sekarang.

"Kali ini mungkin lebih relaks sikit berbanding empat tahun lalu. Pada 2018 memang berdebar sebab Komanwel adalah temasya besar dan saya kali pertama beraksi ketika itu. Di Birmingham nanti saya dapat rasakan mampu melakukan sesuatu selepas menggalas tugas besar di ACC dan menjadi antara pelumba yang disasarkan untuk memenangi pingat," katanya. Fadhil yang juga pemegang rekod kebangsaan dalam acara berkenaan iaitu 1 minit 00.305 saat mengakui dia rasa kurang gementar seperti sebelum ini.

"Mungkin saya sudah matang dalam melakukan persiapan, malah ia juga dapat dilihat ketika ACC sebelum ini, sebaik menamatkan saingan final acara keirin, saya lebih tenang untuk berlumba dalam saingan 'kilo'. Saya tetap bersyukur selepas meraih perak dalam acara berkenaan di New Delhi," katanya.

Ditanya mengenai pencabar, juara kejohanan kebangsaan itu mengakui dia perlu berhati-hati dengan pelumba dari Trinidad & Tobago, New Zealand dan negara dari Britain.

Selain Fadhil skuad berbasikal trek negara dibarisi Shah Firdaus Sahrom dan adiknya, Muhammad Ridwan, Anis Amira Rosidi, Nurul Aliana Syafika Azizan dan Nurul Izzah Izzati.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 12:27 PM