MONTEIRO berbual dengan pelumba trek negara ketika lawatan ke Velodrom Nasional di Nilai, hari ini. FOTO FB MAJLIS SUKAN NEGARA
MONTEIRO berbual dengan pelumba trek negara ketika lawatan ke Velodrom Nasional di Nilai, hari ini. FOTO FB MAJLIS SUKAN NEGARA
Ferzalfie Fauzi


Nilai: Skuad berbasikal trek negara tetap yakin untuk mencatatkan keputusan terpuji di Sukan Komanwel Birmingham 2022, walaupun tanpa kehadiran pelumba bintang, Datuk Azizulhasni Awang.

Mengetuai skuad kali ini ialah Shah Firdaus Sahrom bersama lima lagi pelumba lain termasuk adiknya, Muhammad Ridwan serta pemenang pingat emas Kejohanan Berbasikal Asia (ACC), Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.

Bagaimanapun, pasukan yang bakal berlepas ke Birmingham pada 23 Julai ini tidak mahu meletakkan sasaran tinggi memandangkan penyertaan kali ini disertai gandingan senior dan pelumba muda.

"Kita ada tiga pelumba lelaki dan tiga perempuan dengan Shah Firdaus mengetuai pasukan. Harap dia dapat membawa sesuatu di Birmingham 2022, namun tiada tekanan diletakkan di bahunya.

"Kita ada Izzati dan dia dapat melakukan yang baik di ACC, kita turut mengharapkan sesuatu daripadanya.

"Sebelum ini, kita ada Datuk Azizulhasni dalam kelompok pelumba ternama. Namun tahun ini, ia satu peluang untuk pelumba muda menyinar. Saya harap mereka dapat menunjukkan sesuatu yang hebat dan membawa pulang pingat," kata Timbalan Ketua Kontinjen negara ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Monteiro Gerard Clair selepas melawat persiapan kem berbasikal trek di Velodrom Nasional Nilai, hari ini.

Di temasya Gold Coast 2018, pasukan berbasikal trek negara tidak membawa pulang sebarang pingat selepas meraih satu gangsa menerusi Azizulhasni pada edisi 2014 di Glasgow.

"Ia akan menjadi sesuatu yang berbeza. Apapun, kami ada Shah yang sudah senior ketika ini.

"Kami sudah lama mempersiapkan dirinya dan ini masa untuk dia menunjukkan kemampuan. Begitupun, tiada tekanan, dia antara pelumba keirin terbaik yang ada.

"Bagi kami, kami sudah bersedia. Kami bawa pasukan muda dan ini peluang buat mereka tunjukkan kemampuan. Sekiranya mereka percaya pada kemampuan diri sendiri dan memberikan komitmen, pingat itu akan hadir," kata ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley.
Pasukan berbasikal trek disertai Shah Firdaus, Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Ridwan, Anis Amira Rosidi, Nurul Aliana Syafika Azizan dan Nurul Izzah Izzati.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 7:03 PM