Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mereka yang sengaja memfitnah kononnya kerajaan mahu membuka Kasino di Forest City, Johor seharusnya seharusnya dikenakan tindakan undang-undang termasuk hukuman penjara.

Perdana Menteri berkata, pihak yang mencetuskan isu terbabit disifatkan tiada modal kerana sengaja membuat tohmahan dan mencipta fitnah sesuka hati.

"Tak ada modal lain, kononnya Anwar dah lulus kasino di Johor. Apa benda ini, tak pernah saya dengar, tak pernah orang usulkan dan Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim) tak pernah maklumkan kepada saya untuk ada kasino dan perjudian di sana.

"Jadi (tohmahan) ini dari mana? Dari penjahat-penjahat sebenarnya. Jadi mereka ini sebenarnya (patut) ganti bilik-bilik saya di (Penjara) Sungai Buloh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Pekerja 2024 bertemakan Pekerja Kesuma Bangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Anwar menegaskan, tiada menjadi masalah jika ada pihak mahu mengkritiknya, namun tidak kepada institusi Raja-Raja yang disanjung dan dimuliakan.

"Kritik tidak mengapa, kamu kritik Perdana Menteri tidak mengapa sebab saya boleh jawab, ini kamu kritik Raja-Raja yang kita sanjung dan muliakan serta ada dalam Perlembagaan.

"Kalau kita ada sistem raja, tak boleh dijadikan macam orang politik, serang sesuka hatiā€¦tak boleh kerana kalau institusi raja itu ada caranya, cara bercakap lain, ada cara kaedah yang perlu kita hormati," katanya.

Justeru, jika ada pihak yang menyerang dan memfitnah institusi raja, jawapannya adalah pendakwaan, hukuman serta penjara.

"Jadi jangan marah saya konon saya tidak demokratik, keras dan kuku besi," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengajak golongan pekerja bangkit dan melawan mana-mana pihak yang sengaja cuba melaga-lagakan dan merendahkan darjat sesiapa sahaja.

Katanya, tindakan pihak terbabit yang menghina kaum, agama selain menafikan hak rakyat tidak perlu dilayan sama sekali.

"Saya mohon pengertian semua, hentikan kalau ada suara yang cuba melaga-lagakan kita, merendahkan darjat sesiapa, saudara bangkit dan melawan dengan sepenuh kekuatan.

"Jangan sesekali melayan sifat menghina mana-mana kaum, agama atau menafikan hak mereka. Tetapi itulah bibit yang memecahkan hubungan kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 1:24 PM